Seruan Kepimpinan Inklusif Demi Pembangunan Mampan Sibu
SIBU: Kerjasama dan kesatuan semua pihak tanpa mengira latar belakang etnik, agama atau budaya menjadi asas penting ke arah kestabilan serta kemakmuran jangka panjang Sibu.
Pengerusi Persatuan Teochew Sibu, Kapitan Su Ngio Kee berkata pembangunan dan kemakmuran Sibu bergantung kepada usaha bersama seluruh anggota komuniti yang berkongsi tanggungjawab serta masa depan yang sama.
Menurut beliau, pemimpin dalam sektor politik, ekonomi dan kebudayaan, termasuk ahli majlis tempatan dan pegawai kerajaan di semua peringkat perlu terus berpegang kepada semangat kebersamaan demi kepentingan bersama.
“Semua pihak berada dalam satu pasukan yang sama. Hanya melalui perpaduan dan kerjasama, kebijaksanaan serta kekuatan kolektif dapat digembleng untuk menghadapi cabaran dan merebut peluang yang tersedia,” katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina anjuran Persatuan Teochew Sibu yang diadakan di sini pada Ahad.
Tambah beliau, pendekatan inklusif yang berteraskan kepercayaan bersama amat penting dalam menyemarakkan kreativiti serta memperkukuh daya tahan masyarakat ke arah pembangunan yang seimbang dan mampan.
Kapitan Su Ngio turut menyeru semua pihak agar melangkah seiring pada tahun baharu dengan semangat kemajuan dan ketabahan, serta menyumbang melalui tindakan yang praktikal demi kesejahteraan bandar ini.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan sambutan Tahun Baharu Cina sebagai wadah mempererat hubungan masyarakat pelbagai kaum menerusi interaksi, perkongsian budaya dan dialog yang konstruktif.
“Pendekatan keterbukaan mampu mengurangkan salah faham serta meningkatkan persefahaman antara komuniti, selaras dengan aspirasi membina masyarakat yang harmoni dan inklusif.
“Usaha bersama yang berlandaskan nilai kemanusiaan sejagat akan membantu mewujudkan persekitaran yang aman, makmur dan sejahtera untuk semua,” ujarnya lagi.
Turut hadir Timbalan Setiausaha Persatuan Teochew Sibu, Su Hiap Soon, Penghulu Chua Hiong Kee serta tetamu lain.-EDISI UKAS