Bazar Ramadan Bandar Riyal Wadah Perpaduan & Pemangkin Ekonomi Setempat
KOTA SAMARAHAN: Bukan sekadar menghidupkan suasana Ramadan, Bazar Ramadan di Bandar Riyal di sini menjadi platform memperkukuh perpaduan dan 'lubuk' rezeki kepada komuniti setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim berkata, inisiatif Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) menganjurkan bazar berkenaan memberi peluang kepada warga setempat dan penduduk sekitar menjana pendapatan tambahan, khususnya sebagai persediaan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menurut beliau, usaha tersebut membuktikan keprihatinan pihak berkuasa tempatan dalam membantu peniaga kecil dan sederhana meningkatkan taraf ekonomi keluarga.
“Terima kasih kepada MPKS atas inisiatif menganjurkan bazar Ramadan di Bandar Riyal yang memberi peluang kepada warga setempat untuk mencari sumber pendapatan, khususnya bagi menampung perbelanjaan menjelang Hari Raya,” katanya ketika ditemui pada program pengagihan bubur lambuk di bazar berkenaan pada Isnin.
Dalam pada itu, beliau turut mengagihkan bubur lambuk kepada para peniaga serta pengunjung sebagai simbol kebersamaan dan semangat berkongsi rezeki sepanjang bulan Ramadan.
Tambahnya, penganjuran bazar seperti ini wajar diperluaskan bukan sahaja pada bulan Ramadan, malah turut diadakan sempena sambutan perayaan lain seperti Gawai Dayak.
Beliau berpendapat, pelaksanaan Bazar Gawai pada masa akan datang mampu mengangkat lagi keharmonian masyarakat berbilang kaum di Sarawak, selaras dengan semangat perpaduan yang menjadi teras pembangunan negeri ini.
Penganjuran bazar berkenaan bukan sahaja menjadi medan menjana ekonomi, malah mengukuhkan jalinan silaturahim dalam kalangan masyarakat setempat, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosial dan kesejahteraan komuniti secara menyeluruh.-EDISI UKAS