Tadarus Santuni Saudara Kita, UiTM Sarawak Perkukuh Ukhwah Ramadan di Muara Tuang
KUCHING: Majlis Tadarus al-Quran dan Berbuka Puasa Bersama Saudara Kita Samarahan anjuran Universiti Teknologi MARA Cawangan Sarawak (UiTMCS) berlangsung dalam suasana penuh ukhuwah dan keberkatan Ramadan, sekali gus memperkukuh peranan institusi pendidikan itu dalam mendekati komuniti setempat.
Rektor UiTMCS, Prof. Dr. Firdaus Abdullah berkata program berkenaan bukan sekadar pengisian rohani, malah menjadi wadah menyemai kasih sayang serta memperkukuh kefahaman Islam dalam kalangan saudara baharu yang telah memilih Islam sebagai agama anutan.
Menurut beliau, seramai 70 saudara kita terlibat dalam program komuniti luar yang dianjurkan Unit Hal Ehwal Islam (UHEI) UiTMCS dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Masjid Darul Taqwa Kampung Muara Tuang.
“Majlis ini menjadi medan menyantuni saudara kita yang telah melalui perjalanan iman yang amat besar nilainya di sisi Allah SWT. Mereka memerlukan sokongan berterusan agar kekal istiqamah serta terus dibimbing dengan penuh hikmah,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut di Masjid Darul Taqwa Kampung Muara Tuang, Kota Samarahan, pada Isnin.
Beliau menegaskan bahawa menyantuni saudara baharu merupakan tuntutan agama dan tanggungjawab bersama umat Islam bagi memastikan kebajikan serta pengukuhan akidah mereka sentiasa terbela.
Dalam majlis sama, para peserta dibimbing oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan UiTMCS, Ustaz Muhammad Ilyas Muhammad Saleh bersama Ustazah Norsinah Tompeng bagi memantapkan bacaan serta penghayatan al-Quran.
Prof. Dr. Firdaus turut merakamkan penghargaan kepada Unit Hal Ehwal Islam UiTMCS atas inisiatif murni menganjurkan program yang disifatkan bermakna dan berimpak tinggi kepada komuniti.
Ucapan terima kasih turut dizahirkan kepada Imam Masjid Darul Taqwa Kampung Muara Tuang, Azyzy Ahmad serta seluruh jawatankuasa masjid atas komitmen dan kerjasama erat dalam menjayakan program tersebut.
Beliau berharap usaha seumpama itu dapat diteruskan sebagai jambatan dakwah yang menyuburkan kasih sayang, memperkasa penghayatan al-Quran dalam kalangan saudara kita serta mengeratkan hubungan antara UiTMCS dan masyarakat setempat.-EDISI UKAS