45 Daerah Sertai Bootcamp, Pencarian Sarawak Digital Champion Peringkat Negeri Bermula di Kuching
KUCHING: Pencarian Juara Digital Sarawak (SDC) secara rasmi bermula hari ini apabila peserta dari 45 daerah seluruh Sarawak berhimpun di ibu negeri bagi menyertai Kem Intensif Juara Digital Sarawak yang berlangsung selama lima hari sehingga 26 Februari 2026.
Pengurus Pembangunan Komuniti AZAM Sarawak, Yaana Singkie, berkata pendekatan berteraskan komuniti menjadi tunjang utama pelaksanaan program berkenaan yang disifatkan sebagai platform strategik membina kepimpinan digital di peringkat akar umbi.
“Bootcamp ini bukan sekadar latihan teknikal, sebaliknya proses membina pemimpin digital di setiap daerah.
"Dengan adanya wakil Juara Digital, kita membentuk rangkaian duta digital yang akan kembali ke komuniti masing-masing untuk berkongsi ilmu, membimbing usahawan tempatan dan memperkukuh keyakinan masyarakat terhadap penggunaan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan baru baru ini.
Program kerjasama Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC) dengan AZAM Sarawak itu menjadi fasa permulaan rasmi sebelum peserta kembali ke daerah masing-masing untuk meneruskan inisiatif digital di peringkat komuniti.
Kem insentif tersebut menghimpunkan peserta terpilih bagi mengikuti latihan digital berstruktur, sesi bimbingan serta pembangunan inovasi yang dirangka untuk memperkukuh kemahiran praktikal dan kepimpinan digital.
Selepas menamatkan fasa latihan ini, peserta akan berperanan sebagai Juara Digital di daerah masing-masing dengan memimpin sesi perkongsian ilmu bagi meningkatkan kesedaran serta literasi digital dalam kalangan komuniti setempat.
Selaras dengan tema “Inovasi Digital, Komuniti Diperkasa” program Juara Digital Sarawak bertujuan memperkukuh literasi digital serta kapasiti inovasi di seluruh negeri, di samping menggalakkan penyertaan lebih luas dalam ekonomi digital.
Melalui pelaksanaan siri Bengkel Kamek Digital di daerah masing-masing, program ini dijangka memberi manfaat kepada sekurang-kurangnya 2,700 usahawan di seluruh Sarawak.
Menurut Yaana lagi, penglibatan peserta dari seluruh Sarawak membuktikan komitmen bersama untuk memastikan transformasi digital tidak hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya merangkumi kawasan luar bandar secara inklusif.
Selepas fasa kem insentif ini, peserta akan kembali ke daerah masing-masing bagi melaksanakan program jangkauan digital berasaskan komuniti sebelum penilaian akhir dijalankan untuk memilih peserta terbaik yang akan dinobatkan sebagai Juara Digital Sarawak.
Kerjasama antara SDEC dan AZAM Sarawak mencerminkan komitmen berterusan dalam memperkukuh pembangunan digital negeri serta memperkasa komuniti selaras dengan aspirasi transformasi digital Sarawak.-EDISI UKAS