Yang di-Pertua Negeri Sarawak & Isteri Dijemput Ke Majlis Berbuka Puasa Anak Sarawak Pada Sabtu ini
KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat rombongan daripada Yayasan Sarawak bagi menjemput mereka menghadiri Majlis Berbuka Puasa Anak Sarawak di Kuala Lumpur pada 28 Februari ini.
Kunjungan hormat diadakan di kediaman rasmi Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi di sini pada Selasa dan diketuai oleh Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Pengerusi MAKSAK Sarawak, Dato Baduyah Bujang, Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak (Operasi), Mohamad Adzlie Ibrahim dan Timbalan Pengarah Yayasan Sarawak (Pendidikan), Watson Chunggat Leonard Doo.
Turut hadir Ketua Penolong Pengarah (Bahagian Pentadbiran, Aset dan Perolehan), Suryani Abdul Hamid, Pengerusi Biro Pendidikan MAKSAK Wanita, Datin Fauziah Mardiana Sepawi dan Setiausaha Kehormat MAKSAK Wanita Sarawak, Norhayati Mornie.
Selain itu, kunjungan tersebut turut menyampaikan jemputan khas kepada Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah untuk menghadiri Program Memasak Bubur Pedas anjuran MAKSAK Wanita Sarawak yang akan berlangsung di Yayasan Sarawak, Kuala Lumpur pada sebelah pagi hari yang sama.-EDISI UKAS