Mufti Sarawak Menamatkan Perkhidmatan 28 Februari Ini, Lakukan Kunjungan Hormat Perpisahan Kepada TYT Sarawak & Isteri
KUCHING: Mufti Sarawak Datu Kipli Yassin mengadakan kunjungan hormat perpisahan kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi sebagai tanda menjunjung kasih serta penghargaan sempena tamat perkhidmatan beliau pada 28 Februari ini.
Beliau bersama isteri, Datin Zarina Mohamed mengadakan kunjungan hormat tersebut di Kediaman Rasmi Yang di-Pertua Negeri Sarawak di sini pada Selasa.
Sepanjang 16 tahun perkhidmatannya, Datu Kipli disifatkan telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam memperkukuh institusi keagamaan serta menyumbang kepada pembangunan ummah di negeri ini.
Kunjungan berkenaan amat bermakna baginya sebagai tanda penghargaan terhadap kepimpinan, sokongan serta perhatian yang diberikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.
Selain itu, kunjungan tersebut turut mencerminkan nilai penghormatan tinggi terhadap institusi negeri serta memperkukuh hubungan antara kepimpinan agama dan kepimpinan tertinggi negeri Sarawak.-EDISI UKAS