Solidariti Borneo Perkukuh Sokongan Terhadap Petisyen Hak Petroleum Sarawak
Sibu: Pemuda Parti Rakyat Sarawak (PRS) menyatakan sokongan penuh terhadap pendirian tegas Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan berhubung hak petroleum negeri sebagai usaha mendapatkan kepastian undang-undang demi mempertahankan hak negeri di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Ketua Pemuda PRS, Ir Christopher Gira Sambang berkata, sokongan itu turut merujuk kepada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali yang menurutnya mencerminkan pendirian berprinsip, berperlembagaan dan berlandaskan fakta sejarah.
Menurut beliau, langkah Kerajaan Sarawak bukan bersifat konfrontasi, sebaliknya bertujuan mendapatkan kepastian undang-undang bagi mempertahankan hak yang telah dipersetujui di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai asas pembentukan Malaysia.
“Sarawak dan Sabah menyertai Malaysia sebagai rakan pengasas dan bukannya negeri bawahan, manakala hak terhadap sumber asli dalam sempadan wilayah yang ditetapkan sebelum Hari Malaysia adalah hak sedia ada yang dipelihara dalam kerangka Perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Beliau berkata, Pemuda PRS berdiri bersama kepimpinan negeri dalam memastikan hak tersebut dihormati sepenuhnya melalui saluran Mahkamah Persekutuan, selaras dengan pendekatan matang dan bertanggungjawab yang diamalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Dalam pada itu, beliau memaklumkan generasi Borneo kini semakin sedar dan celik sejarah, dengan anak muda di Sarawak dan Sabah memahami MA63 sebagai perjanjian pembentukan negara yang mempunyai nilai perundangan dan moral yang tinggi.
“Sekiranya hak-hak di bawah MA63 tidak dilaksanakan sepenuhnya atau terus ditafsir secara sempit sehingga menjejaskan semangat asal 1963, maka semua saluran perundangan yang sah wajar dipertimbangkan berlandaskan prinsip keadilan sejagat,” tegasnya.
Beliau turut menegaskan keutamaan tetap diberikan kepada penyelesaian melalui Mahkamah Persekutuan dan mekanisme Perlembagaan Malaysia.
“Solidariti Borneo sebagai kesedaran bersama bahawa Sarawak dan Sabah adalah rakan pengasas yang haknya mesti dihormati secara adil dan seimbang,” tambahnya.- EDISI UKAS