SRI AMAN: Bandar Simanggang bakal berubah wajah apabila projek pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 dijangka siap pada Mei ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, jambatan kabel gantung tertinggi di Malaysia itu apabila siap akan dapat menyokong rangkaian jalan pesisir yang menyambungkan beberapa bandar pesisir pantai Sarawak termasuk di Sri Aman.
"Jambatan terbabit akan membolehkan penduduk bergerak dengan lebih mudah melalui perlaksnaan projek jalan pesisir dan sekali gus merancakkan proses pembangunan ekonomi di Bandar Simanggang serta sekitarnya.
"Tidak dilupakan juga kewujudan Jalan Brayun-Basi yang telah menghubungkan bandar ini ke Lebuhraya Pan Borneo di Kampung Stuga, Engkilili dan memberi manfaat kepada 10 rumah panjang serta dua sekolah rendah di kawasan berkenaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Sambutan Tahun Baru Cina anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Cina Munggu Sabun dengan kerjasama Kelab Line Dance, malam kelmarin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang itu turut mengumumkan kembali pembinaan 10 lot kedai baharu menerusi perlaksanaan Projek Pusat Khidmat Batu Lintang melalui kos yang diperuntuk oleh Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA) sebanyak RM15 juta.
"Untuk pengetahuan rakyat, kerajaan Sarawak kini sedang memperhebatkan pelaksanaan ekonomi digital sebagai langkah usaha pembangunan moden dan sedang berada di landasan kukuh ke arah merealisasikan impian tersebut.
"Justeru, saya berharap agar rakyat terus memberi sokongan padu terhadap kerajaan berhubung usaha permodenan terbabit ke arah merealisasikan hasrat menjadikan Sarawak antara negeri termaju dalam Malaysia menjelang tahun 2030," katanya.
Pada masa sama, beliau juga mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar sebanyak RM3,000 kepada Kelab Line Dance dan RM5,000 kepada biro wanita JKKK Kampung Cina Munggu Sabun.-EDISI UKAS