Perpaduan Komuniti Cina Perlu Diperkukuh, Hadapi Cabaran Demografi
BINTULU: Komuniti Cina diseru agar terus memperkukuh perpaduan sebagai asas kekuatan dalam menghadapi cabaran masa depan, termasuk penurunan populasi yang semakin ketara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Ts Johnny Pang Leong Ming berkata, tanpa kesatuan yang kukuh, komuniti berdepan risiko menjadi semakin terpinggir pada masa hadapan.
“Hanya melalui perpaduan yang kukuh, komuniti dapat memperkasa kekuatan dan menjamin kelangsungan masa depan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis penutupan Festival Budaya dan Makanan Bintulu 2026 di tapak Lasar Kenyalang pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata, penganjuran karnival selama 10 hari bermula 24 April hingga 3 Mei itu bukan sahaja berjaya mempromosikan budaya, malah menjadi platform penting dalam merapatkan hubungan antara masyarakat pelbagai kaum.
Katanya, festival seumpama itu turut berperanan menghidupkan warisan budaya melalui pelbagai aktiviti seperti persembahan pentas, pameran tradisi dan penglibatan komuniti secara menyeluruh.
Beliau turut menegaskan bahawa makanan menjadi medium yang menyatukan masyarakat melalui perkongsian budaya, pertukaran pengalaman serta meningkatkan kefahaman antara pelbagai kaum.
Dalam pada itu, Johnny Pang turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 bagi menyokong penganjuran festival berkenaan.-EDISI UKAS