Borneo IRT 2026 Bakal Himpun Lebih 1,000 Peserta Di Miri
MIRI: Pertandingan Borneo International Robot Tournament (Borneo IRT) 2026 bakal kembali meriah apabila dijadualkan berlangsung di Grand Ballroom, aras 7, Meritz Hotel selama empat hari bermula 6 hingga 9 Mei depan.
Program bertaraf antarabangsa itu dianjurkan oleh Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Chung Hua (CF) Miri bersama Persatuan Bekas Pelajar sekolah berkenaan, dengan sokongan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak.
Kejohanan tersebut merupakan edisi keempat selepas kejayaan penganjuran sebelum ini sejak 2019, 2024 dan 2025 yang mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
Penganjuran kali ini turut menampilkan pertandingan “Robomission Battle LEGO Education SPIKE Prime” yang menjadi tarikan utama.
Pertandingan ini dijangka menghimpunkan kira-kira 1,000 hingga 1,200 peserta dan pegawai dari dalam serta luar negara, melibatkan 288 pasukan yang terdiri daripada pelajar berusia antara 9 hingga 21 tahun.
Negara yang dijangka mengambil bahagian termasuk Amerika Syarikat, China, Jepun, Korea Selatan, Jerman, Kanada dan beberapa negara Asia serta Eropah.
Sebanyak enam kategori dipertandingkan, antaranya Robomission Battle bagi peringkat rendah, menengah dan atas, RoboSport (Double Tennis), RoboSumo serta League of Mecha-clash (LOM) Matrix.
Setiap pasukan dianggotai dua peserta dengan bimbingan seorang mentor atau guru bagi membina dan memprogram robot menggunakan set LEGO Education SPIKE Prime.
Selain pertandingan, acara ini turut diisi dengan persidangan robotik antarabangsa serta sesi interaksi antara peserta dan pakar dalam bidang teknologi.
Majlis perasmian dijadualkan berlangsung pada 7 Mei, manakala majlis penutupan dan penyampaian hadiah akan diadakan pada malam 9 Mei. -EDISI UKAS