Puspakom Miri Perlu Dinaik Taraf Sokong Lonjakan Projek Infrastruktur
MIRI: Kemudahan dan perkhidmatan Puspakom Miri perlu dinaik taraf bagi menampung peningkatan jumlah kenderaan berat seiring dengan perkembangan pesat projek pembangunan infrastruktur di Sarawak.
Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin berkata, pertambahan projek seperti pembinaan jalan raya, pelabuhan serta pembangunan industri telah meningkatkan keperluan terhadap sistem pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap.
Menurut beliau, keadaan itu menuntut sistem pemeriksaan kenderaan yang lebih cekap dan pantas bagi mengelakkan sebarang gangguan terhadap operasi logistik dan projek pembinaan.
“Jika kenderaan gagal pemeriksaan atau mengambil masa lama untuk diluluskan, ia akan menjejaskan kelancaran kerja-kerja di tapak projek.
"Jadi kita mahu proses ini dipercepatkan,” katanya semasa lawatan kerja ke Puspakom Miri pada Isnin.
Pada masa ini, kapasiti pemeriksaan di Puspakom Miri adalah sekitar 190 kenderaan sehari, manakala purata penggunaan harian sekitar 145 kenderaan.
Walaupun masih dalam had kapasiti, peningkatan permintaan pada masa hadapan dijangka memerlukan penambahan fasiliti, peralatan serta tenaga kerja.
Sehubungan itu, Dato Sri Lee mencadangkan agar kawasan Puspakom Miri diperluaskan, termasuk menambah ruang dan kemudahan bagi mempercepatkan aliran kenderaan.
Selain itu ujarnya, antara penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk sistem janji temu dalam talian yang kini boleh dibuat sehingga tiga bulan lebih awal, berbanding sebelum ini hanya sebulan.
"Kenderaan yang gagal pemeriksaan atas faktor visual seperti tayar, lampu atau reflektor kini dijangka boleh dibaiki pada hari yang sama tanpa perlu mengambil semula nombor giliran, sekali gus mempercepatkan proses kelulusan," ujarnya.
Dalam pada itu, pintu masuk pagar utama Puspakom Miri turut dijadualkan untuk dinaik taraf, dengan kerja-kerja pelebaran dijangka dilaksanakan dalam masa terdekat dan disasarkan siap sekitar Jun atau Julai 2026.
Selain itu, Dato Sri Lee memberitahu, Puspakom juga merancang untuk memperkenalkan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi pemeriksaan bahagian bawah kenderaan (undercarriage) bermula tahun hadapan.
“Dengan kaedah manual, pemeriksaan mengambil masa kira-kira 10 minit, tetapi dengan AI ia boleh dipendekkan kepada hanya satu minit,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut menekankan keperluan menaik taraf atau memindahkan kemudahan Puspakom di Bintulu ke lokasi lebih sesuai.
Ujarnya, ini memandangkan tapak sedia ada tidak lagi mampu menampung keperluan semasa selaras dengan pembangunan pesat di kawasan itu melibatkan industri berat dan pelabuhan, selain cadangan pembinaan terminal lori bersepadu di lokasi yang sesuai di Bintulu. -EDISI UKAS