TVET MyKomoditi Jadi Jambatan Pendidikan, Industri
KOTA SAMARAHAN: Program TVET MyKomoditi menjadi jambatan penting antara pendidikan dan industri, bakat muda serta peluang kerjaya, selain menghubungkan potensi belia dengan realiti masa depan.
Pengarah Eksekutif Sarawak Skills, Hallman Sabri berkata, sektor agrikomoditi kini bukan lagi sektor tradisional, sebaliknya telah melalui transformasi besar menerusi penggunaan teknologi moden, automasi, inovasi produk serta pendekatan mampan.
Justeru katanya, program ini bertujuan menyampaikan maklumat secara terus kepada para peserta mengenai keperluan tenaga kerja kritikal dalam sektor agrikomoditi.
"Industri ini memerlukan bukan sahaja tenaga kerja, tetapi tenaga kerja yang berkemahiran, berpengetahuan dan bersedia untuk beradaptasi dengan teknologi baharu," katanya ketika berucap dalam majlis perasmian program tersebut di dewan Pertubuhan Peladangan Negeri Sarawak (PPNS), di sini, pada Isnin.
Tambahnya, program itu turut mengetengahkan pelbagai laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang tersedia melalui agensi dan institusi latihan.
Ujarnya kini, TVET bukan lagi pilihan kedua tetapi ia adalah pilihan strategik untuk membina kerjaya yang stabil, relevan dan bernilai tinggi.
Selain itu, Hallman memberitahu, program juga bertujuan mengubah persepsi masyarakat bahawa sektor agrikomoditi bukan sekadar pekerjaan lapangan, tetapi bidang profesional yang menawarkan pelbagai peranan termasuk teknikal, pengurusan, penyelidikan dan keusahawanan.
"Kita ingin memberi pendedahan tentang kelebihan sektor ini, termasuk potensi pendapatan, kestabilan kerjaya serta peluang untuk terlibat dalam industri yang menjadi tulang belakang ekonomi negara," ujar beliau.
Sepanjang program, pelbagai aktiviti diadakan termasuk sesi ceramah, perkongsian industri, pameran agensi dan syarikat, demonstrasi pembuatan coklat, jualan produk tempatan serta pertandingan futsal.
Dalam majlis sama, seramai 35 penerima daripada kumpulan dua dan tiga program rintis Harvesting Specialist Zon Sarawak menerima sijil masing-masing.
Beliau berkata program rintis hasil kerjasama Sarawak Skills, IMPAC dan rakan industri itu telah melatih seramai 50 belia pada tahun lalu.
Turut berlangsung pertukaran Memorandum Persetujuan (MoA) antara IMPAC dengan beberapa institusi serta agensi termasuk Sarawak Skills bagi memperkukuh ekosistem TVET negara.
Turut hadir, Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad. -EDISI UKAS