Dasar Kemasukan Tahun Satu Usia Enam Tahun: Prasekolah Sarawak Perlu Penyesuaian Strategik
KUCHING: Sektor pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (ECCE) di Sarawak perlu melakukan penyesuaian strategik susulan pengenalan dasar baharu yang membenarkan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu bermula 2027.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Awal Kanak-Kanak Sarawak (MPAKS), Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, dasar yang diperkenalkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu memberi pilihan kepada ibu bapa sama ada mendaftarkan anak ke Tahun Satu pada usia enam tahun atau mengekalkan mereka di tadika sehingga berumur tujuh tahun.
Menurut beliau, walaupun pelaksanaannya tidak bersifat mandatori, implikasinya terhadap ekosistem TASKA dan TADIKA di negeri ini adalah signifikan, khususnya melibatkan corak kemasukan murid, kelestarian kewangan pengusaha serta aspek kesiapsiagaan perkembangan kanak-kanak.
“Sekiranya sebahagian besar ibu bapa memilih menghantar anak ke Tahun Satu lebih awal, jumlah murid enam tahun di tadika dijangka berkurangan secara ketara, sekali gus memberi kesan langsung kepada operasi dan keperluan tenaga pengajar,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat MPAKS di sini pada Selasa.
Beliau menambah, pengurangan bilangan murid bukan sahaja menjejaskan pendapatan pengusaha, malah berpotensi mempengaruhi peluang pekerjaan guru prasekolah sekiranya keperluan tenaga pengajar turut berkurangan.
Dalam masa sama, beliau memaklumkan bahawa majoriti ibu bapa ketika ini masih cenderung mengekalkan pendekatan sedia ada, iaitu kanak-kanak berusia sifar hingga empat tahun ditempatkan di TASKA manakala usia empat hingga enam tahun di TADIKA, berikutan kebimbangan terhadap tahap kematangan akademik, emosi dan sosial anak-anak.
Sehubungan itu, MPAKS turut meneliti cadangan pelesenan bersepadu yang membolehkan TASKA dan TADIKA beroperasi di premis yang sama dengan kemudahan dikongsi seperti dapur, kawasan permainan luar dan ruang pentadbiran, tertakluk kepada keperluan ruang serta pengasingan zon mengikut kesesuaian umur.
Pendekatan tersebut dilihat mampu mengurangkan kos operasi, memperkukuh kesinambungan pembelajaran kanak-kanak serta memudahkan kolaborasi antara pendidik sekiranya timbul isu berkaitan perkembangan fizikal, emosi atau sosial.
Beliau menegaskan bahawa kementerian bersama MPAKS akan memastikan Sarawak berada dalam keadaan bersedia menghadapi perubahan dasar berkenaan, termasuk dari aspek perancangan guna tanah dan penyelarasan garis panduan operasi, agar kepentingan serta kesejahteraan kanak-kanak terus menjadi keutamaan. –EDISI UKAS