Doa Dan Harapan Termakbul, Wanita Hilang Di Pulau Bruit Selamat Ditemui
PULAU BRUIT: Doa dan harapan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol agar seorang wanita yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu ditemui selamat akhirnya dimakbulkan apabila mangsa berjaya ditemui tengah hari tadi.
Datuk Abdullah sebelum itu berkesempatan meninjau operasi mencari dan menyelamat (SAR) serta meluangkan masa bersama anggota pasukan penyelamat di pusat kawalan operasi yang berpusat di Loji Air Kampung Penibong.
Dalam kunjungan tersebut, beliau turut mendoakan agar mangsa ditemui dalam keadaan selamat dan berharap wanita berkenaan dapat kembali ke pangkuan keluarga untuk berbuka puasa.
Mangsa yang dikenali sebagai Suriya Merais, 52, ditemui sekitar jam 12 tengah hari dalam keadaan selamat selepas usaha pencarian dipergiatkan oleh pasukan SAR.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Hasman Bakar berkata, mangsa berjaya dikesan selepas kawasan pencarian diperluaskan sehingga radius enam kilometer dari lokasi terakhir beliau dilaporkan hilang.
Menurutnya, pasukan SAR menemui petunjuk awal berupa buah asam paya di dalam sebuah guni yang dipercayai ditinggalkan mangsa ketika berada di kawasan hutan.
“Petunjuk tersebut membantu pasukan menjejaki lokasi mangsa sebelum beliau akhirnya ditemui dalam keadaan selamat,” katanya.
Sebelumnya, mangsa dilaporkan keluar ke hutan untuk mencari buah sekiu namun tidak pulang ke rumah sehingga lewat petang, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ahli keluarga.
Operasi SAR yang dilancarkan susulan laporan kehilangan akhirnya membuahkan hasil, mencerminkan komitmen tinggi pasukan keselamatan serta kerjasama pelbagai pihak dalam memastikan keselamatan penduduk sentiasa terpelihara. -EDISI UKAS