Pembangunan Belia, Aktiviti Kemasyarakatan Terus Jadi Keutamaan Sarawak
KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan belia dan pengukuhan aktiviti kemasyarakatan menerusi sokongan berterusan terhadap pelaksanaan Program Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS 2026 yang bakal diadakan di 73 lokasi di seluruh negeri ini sepanjang Ramadan.
Majlis Pelancaran Jerayawara Bubur Lambuk SABERKAS 2026 telah disempurnakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Kolej Universiti i-CATS, di sini pada Selasa.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan Kerajaan Sarawak sentiasa menyokong inisiatif belia yang memberi impak langsung kepada masyarakat termasuk program kesukarelawanan dan kebajikan sepanjang Ramadan.
Menurut beliau, SABERKAS sebagai antara pertubuhan belia terbesar di Sarawak menganjurkan lebih 300 program setiap tahun merangkumi pembangunan kepimpinan, sukan, pendidikan serta aktiviti kemasyarakatan.
“Platform seperti ini amat penting dalam membina karakter, jati diri dan menyemai semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia. Kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi bagi memastikan agenda pembangunan belia dilaksanakan secara menyeluruh dan berimpak tinggi,” katanya.
Beliau turut menekankan bahawa kekuatan SABERKAS terletak pada sistem pengurusan yang tersusun serta keupayaan menjana dana sendiri, sekali gus membolehkan pelaksanaan program dilaksanakan secara konsisten tanpa terlalu bergantung kepada bantuan luar.
“SABERKAS merupakan antara NGO yang menjadi kebanggaan Sarawak. Dengan pengurusan dan pelaburan yang strategik, kita mampu melaksanakan ratusan program setiap tahun demi manfaat belia dan masyarakat,” ujarnya lagi.
Tambah beliau, inisiatif SABERKAS Prihatin yang diwujudkan ketika pandemik COVID-19 membuktikan keprihatinan dan kesiapsiagaan ahlinya dalam membantu masyarakat ketika berdepan musibah seperti banjir dan kebakaran.
Pada majlis sama, Dato Sri Abdul Karim turut mengumumkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM21,000 kepada Kelab SABERKAS Kolej Universiti i-CATS bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti pelajar, selain tambahan RM10,000 kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) institusi berkenaan bagi menyokong pembangunan program mahasiswa.
Jerayawara Bubur Lambuk tahun ini merupakan edisi ke-22 pelaksanaannya dengan pengagihan kira-kira 1,000 paket bubur lambuk pada majlis pelancaran sahaja sebelum diperluaskan ke 73 kampung dan bandar di seluruh Sarawak sepanjang Ramadan.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) merangkap Naib Presiden SABERKAS Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Naib Canselor Kolej Universiti i-CATS Profesor Emeritus Datuk Ts. Dr. Mohamad Kadim Suaidi, barisan kepimpinan SABERKAS Sarawak, Exco-Exco, ketua-ketua jabatan serta pengurusan universiti. –EDISI UKAS