KOTA SAMARAHAN: Inisiatif tanggungjawab sosial korporat terus dizahirkan apabila syarikat swasta tampil membantu golongan memerlukan sempena Ramadan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dan keprihatinan dalam kalangan masyarakat.
Pada Selasa, Mini Market Farley menganjurkan Program Sentuhan Kasih yang menghimpunkan pelbagai agensi serta penerima sumbangan dalam satu majlis yang penuh bermakna dan sarat nilai kemanusiaan.
Majlis tersebut disempurnakan oleh wakil kepada Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang iaitu Pegawai Tadbir Khas IRSDA, Anuar Da’an, yang menyampaikan salam serta penghargaan daripada beliau.
Dalam ucapannya, beliau memaklumkan bahawa Datuk Rubiah tidak dapat hadir berikutan urusan rasmi di Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Mini Market Farley atas inisiatif murni menyediakan sumbangan berupa baucar, hamper dan jamuan kepada golongan memerlukan, khususnya dalam persiapan menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, kerjasama strategik bersama agensi kerajaan seperti Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Pejabat Pendidikan Daerah Samarahan turut memperkukuh pelaksanaan program, memastikan bantuan disalurkan secara tersusun dan tepat kepada sasaran.
Beliau turut menegaskan bahawa budaya saling membantu dan keprihatinan sosial perlu terus diperkasa sebagai asas kesejahteraan masyarakat, agar tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan dan kebajikan.
Program berkenaan bukan sahaja menjadi platform penyerahan sumbangan, malah mencerminkan komitmen berterusan sektor swasta dan agensi berkaitan dalam memperkasa agenda kebajikan serta mempererat hubungan antara komuniti dan pemegang taruh setempat.-EDISI UKAS