BETONG: Semangat berkongsi rezeki dan kebersamaan Ramadan terus disemarakkan apabila Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Betong mengagihkan sebanyak 300 bungkus bubur lambuk kepada masyarakat setempat dalam satu program penuh kemesraan di sini, pada Selasa.
Agihan dilaksanakan menerusi kaedah pandu lalu bagi memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa tanpa perlu turun dari kenderaan, sekali gus memastikan kelancaran serta keselesaan penerima.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen berterusan warga emas dalam memainkan peranan aktif menyumbang kepada masyarakat, sekali gus membuktikan institusi berkenaan bukan sekadar pusat aktiviti sosial, malah menjadi platform memperkukuh nilai kebersamaan dan keprihatinan.
Program berkenaan turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu yang meluangkan masa menyantuni warga emas serta orang ramai.
Beliau turut meninjau kemudahan pusat dan menyertai simbolik agihan bubur lambuk sebagai tanda sokongan terhadap usaha memperkasakan peranan komuniti setempat dalam aktiviti kemasyarakatan.-EDISI UKAS