Mesyuarat Khas BIHAS 2026 Perhalusi Strategi Penganjuran Bertaraf Antarabangsa
KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan hari ini mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pengelola Borneo International Halal Showcase 2026 (BIHAS) 2026 bagi meneliti perkembangan terkini serta memperincikan hala tuju pelaksanaan program berkenaan.
Mesyuarat tersebut memberi ruang kepada ahli jawatankuasa untuk membentangkan perancangan dan pengisian program, di samping mendapatkan pandangan serta nasihat beliau selaku pengerusi bagi memastikan setiap aspek penganjuran dirangka secara komprehensif.
Antara perkara utama yang dibincangkan termasuk konsep penganjuran, strategi promosi serta pendekatan pemasaran yang bersesuaian bagi memastikan BIHAS 2026 mencapai sasaran penyertaan dan impak ekonomi yang ditetapkan.
Beliau turut menekankan kepentingan penyelarasan bersepadu antara agensi-agensi terlibat serta kesiapsiagaan logistik bagi menjamin kelancaran pelaksanaan acara berskala antarabangsa itu.
Menurutnya, BIHAS 2026 bukan sekadar platform mempamerkan produk dan perkhidmatan halal, malah perlu berfungsi sebagai medan strategik untuk menarik pelaburan, memperluas rangkaian pasaran serta memperkukuh daya saing usahawan tempatan di peringkat global.
Dengan perancangan rapi dan visi yang jelas, BIHAS 2026 diyakini mampu muncul sebagai platform unggul dalam memperkukuh kedudukan Sarawak dalam landskap industri halal global.-EDISI UKAS