Program Dhiya’ Ramadan JAIS Perkukuh Peranan Masjid di Gedong
GEDONG: Program Safari Ramadan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Siri 2 diteruskan dengan penuh penghayatan menerusi Program Dhiya’ Ramadan JAIS Tahun 1447H/2026M di Masjid Darul Iman, Kampung Gumpey, di sini pada Selasa.
Program anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) itu menghimpunkan kira-kira 150 jemaah dan bertujuan menyemarakkan penghayatan Ramadan di samping memperkukuh peranan institusi masjid sebagai pusat ibadah, pembangunan sahsiah dan pengukuhan ummah.
Majlis telah disempurnakan oleh Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak merangkap Setiausaha Majlis Islam Sarawak (MIS), Mual Suaud.
Antara pengisian utama program ialah penyampaian Tazkirah Khas Ramadan yang menekankan kepentingan memperkukuh keimanan, memperbanyak amalan kebajikan serta mengimarahkan masjid sepanjang bulan mulia ini.
Program diteruskan dengan majlis berbuka puasa bersama diikuti solat fardu Maghrib, Isyak dan solat sunat Tarawih secara berjemaah.
Dalam majlis sama, MIS turut menyampaikan pelbagai sumbangan kebajikan melibatkan bantuan tunai dan kotak makanan kepada 30 penerima, bantuan tunai berserta peralatan sekolah kepada 45 pelajar serta penyerahan sebuah mesin pembersih vakum kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP) Masjid Darul Iman.
Selain itu, JAIS turut menyalurkan Dana Pengimarahan Masjid berjumlah RM3,000 bagi menyokong aktiviti serta pengurusan masjid secara berterusan.
Penganjuran program ini bukan sahaja mempererat hubungan antara agensi agama dan komuniti setempat, malah menjadi platform penting bagi meninjau keperluan fasiliti masjid dalam usaha memastikan keselesaan dan kesejahteraan jemaah.
Inisiatif seumpama ini diharapkan terus menyemarakkan keberkatan Ramadan serta memperkukuh institusi masjid sebagai nadi pembangunan ummah yang holistik dan mampan.-EDISI UKAS