Keharmonian Kaum Perlu Diwarisi Generasi Seterusnya
BETONG: Keharmonian dan semangat perpaduan yang sekian lama terjalin dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di Betong perlu terus dipelihara dan diwarisi oleh generasi seterusnya.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Layar, Datuk Gerald Rentap Jabu berkata, melahirkan rasa kagum dan bangga melihat generasi muda komuniti Cina di Betong yang membesar serta hidup harmoni bersama masyarakat Melayu dan Iban.
Menurut beliau, kesinambungan generasi daripada yang muda hingga ke warga emas jelas membuktikan komuniti tersebut terus berkembang maju dan berakar kukuh di Betong.
“Perayaan ulang tahun ke-100 Tokong Cina Betong dan SJKC Chung Hua Betong pada tahun lalu menandakan lebih satu abad komuniti ini bertapak di sini.
"100 tahun penuh harmoni ini perlu kita wariskan kepada generasi demi generasi untuk abad demi abad,” katanya ketika berucap dalam Majlis Makan Malam Tahun Baru Cina Komuniti Cina Betong di Dewan Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong pada Selasa.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM30,000 masing-masing kepada lima pertubuhan komuniti Cina di Betong iaitu Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Zhong Khor Betong, Pertubuhan Agama Buddha Betong, The Betong Chinese Temple Charitable Trust, Pertubuhan Penganut Tokong Fu Sheng Gong dan Pertubuhan Penganut Tokong Shen Tan Gong. -EDISI UKAS