Pesta Chap Goh Mei Disasar Jadi Produk Pelancongan Utama Sri Aman
SIMANGGANG: Sambutan Pesta Chap Goh Mei berpotensi diangkat sebagai produk pelancongan penting Sri Aman sekali gus memperkukuh perpaduan masyarakat berbilang kaum serta merancakkan ekonomi setempat.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis berkata, pesta berkenaan kini berkembang sebagai perayaan komuniti yang menarik penyertaan pelbagai kaum, bukan sahaja masyarakat Cina.
Menurut beliau, setiap tahun lebih 5,000 pengunjung membanjiri Bandar Simanggang untuk menyaksikan perarakan dewa-dewi sempena sambutan tersebut.
“Ribuan pengunjung terdiri daripada masyarakat Iban, Melayu dan kaum lain. Kehadiran ini membuktikan pesta ini telah diterima sebagai sebahagian identiti masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Ramah Tamah Tahun Baharu Cina serta Pelancaran Pesta Chap Goh Mei Peringkat Bahagian Sri Aman di Tokong Ciyun Sri Aman, pada Selasa.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, Chap Goh Mei perlu dilihat sebagai pelengkap kepada produk pelancongan sedia ada seperti Pesta Benak yang telah lama menjadi tarikan utama daerah tersebut.
Menurutnya, gabungan dua acara besar berbeza latar budaya itu mampu menonjolkan Sri Aman sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan kepelbagaian tradisi serta keharmonian masyarakat.
“Penganjuran pesta ini bukan sahaja membuka ruang masyarakat meraikan kebudayaan, malah memberi limpahan ekonomi kepada peniaga kecil, pengusaha makanan dan industri pelancongan tempatan,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) sebanyak RM30,000 kepada Persatuan Soon Heng Simanggang bagi menyokong penganjuran Chap Goh Mei tahun ini.
Turut hadir Walikota Majlis Daerah Sri Aman, Anthony Abell Chendan, Pengerusi Persatuan Soon Heng Simanggang, Tay Chiew Hua, Timbalan Pengerusi, Temenggong Kueh Aik Seng, wakil Pejabat Daerah Sri Aman, Joshua Martin serta Setiausaha Pertubuhan Meninggikan Akhlak Chee Chuan Khor Sri Aman, Tay Cho Seng.-EDISI UKAS