‘Rock Blasting’ SPK Endap: Keselamatan Penduduk Jadi Keutamaan
KOTA SAMARAHAN: Isu mengenai cadangan kerja peletupan terkawal ‘rock blasting’ bagi projek Skim Pembesaran Kampung (SPK) Endap telah dibincangkan bagi memastikan keselamatan penduduk menjadi keutamaan utama.
Sehubungan itu, Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak melalui Pejabat Tanah dan Survei Bahagian Samarahan telah mengadakan satu sesi dialog pada Selasa bertujuan memberi penerangan terperinci kepada penduduk kampung serta mendapatkan maklum balas berhubung keperluan pelaksanaan kaedah berkenaan.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Samarahan, Ahmad Raslan Yaiyah berkata, projek SPK Endap dilaksanakan bagi menyediakan kawasan kediaman yang lebih selamat dan selesa kepada penduduk, khususnya mereka yang terjejas akibat masalah banjir sebelum ini.
“Projek ini melibatkan pembangunan 48 lot kediaman di bawah Skim Pembesaran Kampung Endap. Namun, kita berdepan cabaran apabila sejumlah 18,700 meter padu batuan keras ditemui di tapak projek, sekali gus menjadikan kaedah pengorekan mekanikal tidak praktikal,” jelasnya.
Menurut beliau, peletupan terkawal dicadangkan sebagai kaedah paling efisien dan selamat kerana ia dirancang secara teknikal menggunakan muatan bahan letupan yang dikira dengan teliti serta detonator sela masa.
“Peletupan terkawal mampu mempercepatkan proses pengorekan, mengelakkan kelewatan projek serta meminimumkan gangguan bunyi kepada penduduk dan sekolah berhampiran,” tambahnya lagi.
Projek bernilai RM1.188 juta itu dibiayai sepenuhnya oleh Kerajaan Sarawak dengan Jabatan Tanah dan Survei Sarawak sebagai agensi pelaksana, manakala kontraktor telah mengambil milik tapak pada 26 Januari 2026 dengan tempoh kontrak enam bulan dan tarikh siap asal pada 25 Julai 2026.
Ahmad Raslan turut memaklumkan bahawa sebarang cadangan penambahan kepada 52 lot selepas pelaksanaan 48 lot sedia ada hanya akan dipertimbangkan sekiranya mendapat persetujuan penduduk kampung.
Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kota Samarahan, Latifah Beni menekankan kepentingan penilaian risiko yang telus serta jaminan daripada pihak pelaksana sekiranya berlaku kerosakan selepas persetujuan diberikan.
“Kita tidak memaksa. Dialog ini untuk mendengar pandangan semua pihak supaya keputusan yang dibuat memberi manfaat kepada penduduk dan kerajaan,” ujarnya. -EDISI UKAS