CENTEXS & GGAF Meterai MoU, Perkukuh Pembangunan Bakat & Agenda Rendah Karbon
KUCHING: Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) dan Green Growth Asia Foundation (GGAF) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) strategik bagi memperkukuh pembangunan bakat hijau serta mempercepat pelaksanaan agenda bandar rendah karbon di Sarawak.
Majlis pemeteraian MoU itu pada Rabu menyaksikan dokumen ditandatangani Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS, Dato Syeed Mohd Hussien Wan Abd Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif GGAF, Dr Balamurugan Ratha Krishnan.
Kerjasama tersebut memfokuskan kepada pengukuhan Pendidikan untuk Pembangunan Lestari (ESD) dalam ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), pembangunan kapasiti pelaksana bandar serta peluasan peluang kerjaya dalam ekonomi hijau.
Pemeteraian MoU berkenaan turut bersempena penganjuran program “GreenGov 360: Building Future-Ready Cities through GCAP – ESG Strategies to City Action (GCAP Implementation Champions Training)” yang berlangsung selama dua hari bermula 24 Februari di CENTEXS.
Program itu menghimpunkan pelaksana bandar dan pemegang taruh utama bagi memperkukuh keupayaan menterjemah strategi Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) kepada tindakan bandar yang praktikal, berdaya laksana dan berimpak tinggi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CENTEXS berkata, kerjasama tersebut menandakan peralihan signifikan daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan konkrit dalam membina kapasiti hijau di peringkat akar umbi.
Menurut beliau, kolaborasi terdahulu bersama GGAF melalui pelan tindakan bandar hijau serta program Eco-Campus telah menjadi asas kukuh kepada kepercayaan dan keserasian strategik yang dimuktamadkan menerusi MoU berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif GGAF pula menegaskan bahawa kekuatan ekonomi hijau bergantung kepada kesiapsiagaan modal insan yang kompeten, berkemahiran tinggi dan selari dengan keperluan ESG global.
Di bawah kerjasama tersebut, kedua-dua pihak akan membangunkan program TVET bersepadu berteraskan ESD dari peringkat sijil hingga diploma, termasuk laluan train-the-trainer dan mikro-kredensial bertindan.
Selain itu, latihan peningkatan kapasiti berkaitan Pelan Tindakan Bandar Hijau (GCAP) akan dilaksanakan secara berperingkat melalui klinik teknikal bagi membantu pihak berkuasa tempatan mengoperasikan keutamaan pembangunan hijau secara sistematik.
Kerjasama ini turut merangkumi pengukuhan keupayaan digital bandar hijau melalui penggunaan Sistem Maklumat Geografi (GIS), Internet Kebendaan (IoT), analitik data serta pelaksanaan projek perintis berkonsepkan ‘sandbox’.
Kedua-dua pihak juga akan membangunkan Sijil Kelestarian yang memberi penekanan kepada kemahiran praktikal dan keperluan pasaran kerja, selaras dengan tuntutan ESG serta pelaksanaan GCAP.
Majlis bandar raya, agensi kerajaan, rakan industri, institusi pengajian tinggi dan organisasi komuniti dipelawa menyertai kohort latihan serta program jangkauan yang akan dilaksanakan dalam fasa pertama kerjasama ini di Sarawak.
Inisiatif strategik tersebut dilihat mampu memperkukuh ekosistem tenaga kerja hijau negeri sekali gus menyokong agenda pembangunan mampan dan meningkatkan daya saing bandar Sarawak di peringkat nasional dan serantau.-EDISI UKAS