SCOPE & PERKESO Perkukuh Ekosistem Tingkat Kebolehpasaran Graduan Sarawak
KUCHING: Kolaborasi strategik antara Pusat Kecemerlangan Prestasi Sarawak (SCOPE) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Sarawak memperkukuh ekosistem pembangunan bakat negeri dengan memastikan graduan Sarawak lebih bersedia, kompeten dan dipadankan secara efektif ke dalam pasaran pekerjaan sebenar.
Menerusi Program Latihan Peningkatan Graduan Sarawak-Program Kesediaan Kerja (GETS-WRP), seramai 700 graduan telah berdaftar setakat Januari dan Februari tahun ini, dengan baki 300 kekosongan lagi bagi memenuhi kuota 1,000 pelatih yang ditetapkan.
Ketua Pegawai Eksekutif SCOPE, Joseph Lim Jit Sek berkata, pengambilan bagi kohort semasa masih dibuka, khususnya kepada graduan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang belum memperoleh pekerjaan tetap.
“Setakat ini kita telah berjaya mendaftarkan 700 pelatih daripada kuota 1,000 yang diperuntukkan.
"Kita masih memerlukan 300 lagi dan mengalu-alukan graduan yang berminat untuk segera memohon supaya kita dapat memenuhi sasaran tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika tampil dalam program bual bicara Juh Randau terbitan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) yang berlangsung di Studio UKAS, pada Rabu.
Joseph Lim menambah, sebahagian peserta telah ditempatkan di industri, manakala selebihnya sedang mengikuti latihan kemahiran insaniah selama tiga bulan sebagai persediaan sebelum penempatan seterusnya pada April ini.
Latihan yang diberikan memberi penekanan kepada komunikasi profesional, etika kerja, kecerdasan emosi (EQ) serta pendedahan kepada realiti industri melalui pendekatan co-creation bersama majikan, sekali gus memastikan graduan bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, tetapi juga kompetensi praktikal yang diperlukan pasaran.
Program GETS-WRP turut menyokong agenda pembangunan bakat negeri selaras aspirasi pembangunan pasca COVID-19 dengan menitikberatkan aspek inklusiviti sosial. Penempatan graduan di kawasan seperti Sibu, Miri dan Limbang tanpa perlu berhijrah ke Kuching membuka peluang pekerjaan lebih seimbang serta merangsang pertumbuhan ekonomi setempat.
Sementara itu, Ketua Wilayah Unit Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO Sarawak, Dr. Belinda Lim Kim Moi menegaskan kolaborasi bersama portal pekerjaan nasional MyFutureJobs memastikan padanan kerja yang lebih tepat dan berasaskan permintaan sebenar pasaran buruh.
“Peranan utama kami adalah memastikan program ini berhubung secara langsung dengan permintaan pasaran buruh sebenar serta menghasilkan outcome pekerjaan yang boleh diukur.
"Melalui MyFutureJobs, peserta dipadankan dengan majikan yang sah dan kekosongan jawatan yang relevan, sekali gus mengurangkan isu ketidakpadanan pekerjaan,” katanya.
Tambah beliau, platform MyFutureJobs bukan sahaja menyediakan akses kepada majikan berdaftar dan data pasaran buruh, malah memantau kadar penempatan serta kebolehpasaran peserta selepas tamat latihan.
Kerjasama strategik antara SCOPE dan PERKESO ini diyakini mampu memperkukuh ekosistem pembangunan bakat Sarawak dengan mempercepatkan laluan graduan daripada fasa latihan ke alam pekerjaan sebenar, sekali gus menyumbang secara signifikan kepada usaha menurunkan kadar pengangguran belia dan memperkukuh daya saing tenaga kerja negeri.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Mia Amira
Foto: Mia Amira & Nurshamilya Ameera