Sarawak Lancar Projek Perintis Audit Pematuhan Alam Sekitar, Perkukuh Tadbir Urus Industri
KUCHING: Sarawak terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan mampan menerusi pelancaran Projek Perintis Audit Pematuhan Alam Sekitar (Environmental Compliance Audit, ECA) bagi sektor pertanian, pengkuarian dan perlombongan, yang disifatkan sebagai langkah strategik memperkasakan tadbir urus alam sekitar negeri.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, inisiatif yang diterajui oleh Natural Resources and Environment Board (NREB) itu bukan sekadar acara simbolik, sebaliknya mencerminkan kesungguhan kerajaan negeri memperkukuh akauntabiliti industri serta memastikan pertumbuhan ekonomi bergerak seiring pemeliharaan alam sekitar.
Menurut beliau, prinsip kawal selia kendiri (self-regulation) yang menjadi teras projek perintis tersebut akan menggalakkan pemain industri mengambil tanggungjawab lebih besar terhadap pematuhan alam sekitar serta menambah baik prestasi secara berterusan.
“Pembangunan dan perlindungan alam sekitar mesti bergerak seiring. Ketika ekonomi Sarawak terus berkembang, kita kekal komited memastikan pertumbuhan ini bersifat bertanggungjawab agar sungai, hutan dan tanah kita terus terpelihara, manakala kemakmuran dapat dinikmati secara menyeluruh,” katanya ketika berucap melancarkan dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Perintis ECA di Auditorium Tegas Digital Village, di sini, pada Rabu.
Beliau menegaskan, pelaksanaan projek tersebut akan dilaksanakan secara kolaboratif melibatkan kementerian berkaitan termasuk Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) serta Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar (MEESty), bagi memastikan penyelarasan dasar serta penglibatan aktif industri.
Pendekatan menyeluruh kerajaan (whole-of-government) itu, jelasnya, penting bagi memperkukuh pematuhan rentas sektor dan memastikan inisiatif kelestarian dilaksanakan secara konsisten di seluruh Sarawak.
Dalam konteks tadbir urus, beliau turut menekankan kekuatan rangka perundangan negeri termasuk Ordinan Sumber Asli dan Alam Sekitar (Bab 84), penubuhan NREB serta pelaksanaan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Hijau) 2023 yang memperkukuh asas perundangan dan institusi pengurusan alam sekitar negeri.
“Sarawak bukan sahaja komited melindungi biodiversiti dan mengawal pencemaran, malah memainkan peranan sebagai ‘Bateri ASEAN’ melalui penggunaan tenaga boleh diperbaharui bagi menyokong peralihan tenaga bersih serantau,” ujarnya.
Tambah beliau, dalam landskap global yang semakin menekankan prinsip Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG), industri yang mengamalkan amalan mampan bukan sahaja membantu melindungi sumber asli negeri, malah berupaya meningkatkan keyakinan pelabur dan membuka peluang baharu dalam pasaran antarabangsa.
Turut hadir, Pengawal Kualiti Alam Sekitar Sarawak, Datu Jack Liam, wakil-wakil kementerian, ketua-ketua jabatan, pemain industri sektor pertanian, pengkuarian dan perlombongan serta juruaudit alam sekitar.-EDISI UKAS