Pengunjung Bazar Ramadan Diseru Utamakan Kesihatan
BINTULU: Penduduk yang mengunjungi bazar Ramadan diingatkan supaya menitikberatkan aspek kesihatan susulan peningkatan kes tuberkulosis (tibi) yang dilaporkan di Sarawak ketika ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming menekankan bahawa langkah pencegahan awal seperti menjaga kebersihan diri serta pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan sesak amat penting bagi mengelakkan penularan penyakit berjangkit.
“Walaupun keadaan masih terkawal, masyarakat tidak boleh mengambil mudah soal kesihatan. Kita digalakkan mengambil langkah berjaga-jaga demi keselamatan bersama,” katanya ketika ditemui media di Medan Jaya selepas lawatan ke beberapa bazar sekitar kawasan DUN beliau pada Selasa.
Lawatan berkenaan turut disertai pemimpin masyarakat, ketua kampung serta pasukan Pusat Khidmat beliau bagi menyantuni peniaga dan pengunjung sempena bulan Ramadan.
Dalam program itu, beliau turut mengagihkan buah kurma kepada para peniaga dan pengunjung sebagai tanda penghargaan serta simbolik sambutan Ramadan.
Beliau menambah, bazar Ramadan bukan sahaja menjadi lokasi utama bagi umat Islam mendapatkan juadah berbuka puasa, malah turut menarik kehadiran masyarakat pelbagai kaum yang sama-sama menikmati suasana perayaan, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi tempatan.
“Suasana harmoni yang dapat dilihat di bazar Ramadan mencerminkan kekuatan perpaduan masyarakat Sarawak yang saling menghormati kepelbagaian budaya dan agama,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau merakamkan penghargaan kepada peniaga dan penganjur bazar yang sentiasa memastikan tahap kebersihan kawasan jualan berada pada keadaan baik demi keselesaan pengunjung.
Beliau berharap masyarakat terus mengekalkan sikap prihatin terhadap kesihatan awam agar kemeriahan Ramadan dapat diraikan dalam suasana selamat, sihat dan harmoni.-EDISI UKAS