PAVB Sokong Tindakan Kerajaan Sarawak Pertahankan Hak Petroleum
BINTULU: Persatuan Anaq Vaie Bintulu (PAVB) menyatakan sokongan padu terhadap tindakan Kerajaan Sarawak memfailkan petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kepastian perundangan mengenai hak negeri terhadap sumber petroleum dan gas.
Presiden PAVB, Pandi Suhaili, berkata langkah berkenaan merupakan usaha strategik dalam mempertahankan kepentingan serta hak sah Sarawak seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Petisyen ini berkaitan pemakaian beberapa akta persekutuan yang memberi kesan langsung terhadap hak Sarawak ke atas sumber asli termasuk minyak dan gas di luar pesisir negeri. PAVB bersama masyarakat Vaie menyokong sepenuhnya tindakan kerajaan negeri kerana isu ini melibatkan masa depan dan kesejahteraan rakyat Sarawak,” katanya dalam kenyataan media pada Selasa.
Beliau menekankan kepentingan Bintulu sebagai antara kawasan utama pengeluaran minyak dan gas di Sarawak, sekali gus memberi alasan kukuh bagi masyarakat setempat untuk menyatakan sokongan terhadap kerajaan negeri.
Selain itu, Pandi menyanjung usaha berterusan Kerajaan Sarawak memperjuangkan hak sumber asli demi manfaat generasi kini dan akan datang.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira kaum dan latar belakang untuk berdiri teguh bersama kerajaan negeri dalam mempertahankan hak dan kepentingan negeri.
“Perpaduan rakyat amat penting bagi memastikan suara Sarawak terus kukuh dalam memperjuangkan hak negeri di peringkat persekutuan,” tambahnya.-EDISI UKAS