Dua Projek RTP DUN Tamin Siap, Perkukuh Infrastruktur & Kesiapsiagaan Banjir
SELANGAU: Dua projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin siap sepenuhnya.
Menerusi hantaran rasmi Facebook DUN Tamin pada Rabu, projek tersebut melibatkan kerja naik taraf jalan ke tapak pembinaan Rumah Panjang baharu Rumah Rashida di Bukit Mengiris, Selangau serta pembinaan kemudahan slipway (boat ramp) di Selangau.
Kedua-duanya dilaksanakan bermula 23 Oktober 2025 dan siap sepenuhnya pada 22 Februari 2026 mengikut jadual.
Naik taraf jalan itu menyokong pembangunan penempatan baharu yang kini dalam fasa pembinaan, sekali gus menyediakan akses lebih sistematik dan selamat kepada penduduk serta memudahkan penghantaran bahan binaan.
Pembinaan slipway pula dilihat sebagai langkah proaktif memperkukuh kesiapsiagaan menghadapi banjir, dengan kemudahan tersebut akan dimanfaatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Sukarelawan Malaysia bagi memudahkan operasi menyelamat dan pemindahan mangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, pelaksanaan projek RTP itu mencerminkan komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan luar bandar dilaksana secara terancang demi kesejahteraan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Sibu, Pejabat Daerah Selangau, agensi penyelamat serta kontraktor terlibat atas kerjasama sehingga projek berjaya disiapkan mengikut spesifikasi dan tempoh ditetapkan. –EDISI UKAS