KUCHING: Lonjakan kutipan pelancongan sebanyak 8.83 peratus kepada RM1.11 bilion setakat Januari 2026 menjadi petunjuk positif kepada sasaran lima juta pelawat yang disasarkan Sarawak tahun ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kutipan pelancongan bagi Januari 2026 merekodkan RM1,115,887,453.81 berbanding RM1,025,391,859.33 pada Januari 2025, iaitu peningkatan sebanyak 8.83 peratus atau lebih RM100 juta.
“Kutipan pelancongan mencatatkan RM1,115,887,453.81 berbanding RM1,025,391,859.33 pada Januari 2025, ini menunjukan peningkatan sebanyak 8.83 peratus atau lebih RM100 juta,”katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Rainforest Youth Summit (RAYS) 2026 di sini pada Rabu.
Dato Sri Abdul Karim menambah, peningkatan itu menunjukkan keyakinan bahawa sasaran lima juta pelawat mampu dicapai menjelang November tahun ini sekiranya momentum pertumbuhan dapat dikekalkan.
“Apabila pelawat datang ke Sarawak, pelbagai sektor menerima manfaat termasuk hotel, industri makanan, pengangkutan serta industri automotif,” katanya.
Statistik Januari turut menunjukkan peningkatan ketibaan pelawat ke Sarawak kepada 437,677 orang berbanding 400,531 pada tempoh sama tahun lalu, iaitu pertumbuhan 9.27 peratus.
Daripada jumlah itu, pelawat antarabangsa meningkat kepada 247,063 orang berbanding 233,404 pada Januari 2025, naik 5.85 peratus, manakala pelawat domestik mencatat pertumbuhan lebih tinggi iaitu 14.05 peratus kepada 190,614 orang berbanding 167,127 sebelumnya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board, Dr Sharzede Datu Salleh Askor.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini