KUCHING: RAYS ASEAN Access Fund, satu mekanisme sokongan kewangan khas bagi membantu belia dari negara ASEAN menyertai Rainforest Youth Summit (RAYS) 2026 yang akan berlangsung dari 24 hingga 26 Jun ini di Kuching.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dana tersebut diwujudkan bagi memastikan penyertaan dalam sidang kemuncak itu tidak ditentukan oleh latar belakang ekonomi atau kekangan kewangan.
Menurut beliau, inisiatif itu bertujuan menampung sebahagian kos perjalanan dan penginapan peserta dari rantau ASEAN supaya lebih ramai belia berpeluang terlibat dalam dialog berkaitan perubahan iklim dan kelestarian.
“Jika RAYS mahu benar-benar menjadi platform serantau, kita tidak boleh membiarkan faktor geografi atau keadaan kewangan menentukan suara siapa yang didengari,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap melancarkan Rainforest Youth Summit (RAYS) 2026 di sini pada Rabu.
Tambah beliau, permohonan dana dibuka kepada belia berusia 18 hingga 30 tahun dari negara ASEAN dan akan ditutup pada 30 Mac 2026, dengan sokongan kewangan distrukturkan berdasarkan klasifikasi pendapatan negara Bank Dunia.
RAYS 2026 merupakan edisi ketiga penganjuran sidang kemuncak belia berfokuskan kelestarian itu dan dijangka menghimpunkan lebih 700 peserta dari semua 11 negara ASEAN serta antarabangsa.
Bertemakan “Youth: Many Ways, One Planet”, program selama tiga hari itu menyediakan ruang kepada belia untuk terlibat dalam bengkel, sesi plenari dan perbincangan dasar berkaitan adaptasi perubahan iklim, pemuliharaan biodiversiti serta pembangunan mampan.
Sejak diperkenalkan, RAYS telah menghimpunkan lebih 1,700 belia, 50 penceramah dan 80 organisasi dari 37 negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan Sarawak sebagai hab kepimpinan iklim belia di rantau ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan dan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu dan Datuk Dr Ripin Lamat serta Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Tourism Board (STB), Dr Sharzede Datu Salleh Askor.-EDISI UKAS
Disediakan oleh: Grace John Lee
Foto: Hazrin Sunaini