MIRI: Seramai 10 penerima daripada tiga daerah menerima sumbangan menerusi Majlis Penyampaian Cek Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Bahagian Miri, pada Rabu.
Program anjuran Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Miri itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan jabatan dalam menyalurkan bantuan kepada komuniti yang memerlukan di Bahagian Miri, meliputi daerah Miri, Marudi dan Telang Usan.
Majlis berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan I (Kesihatan Awam dan Perumahan) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datuk Dr Penguang Manggil.
Turut hadir Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Miri, Anthony Abui, Pegawai Daerah Marudi, Rose Edward Tarang, Pegawai Daerah Telang Usan, Ezra Uda serta wakil Pegawai Daerah Miri, Edward Tawang.
Daripada jumlah keseluruhan penerima, dua adalah dari daerah Miri, manakala masing-masing empat dari Telang Usan dan Marudi.
Antara penerima sumbangan ialah Masjid Nurul Ibadah Kampung Muhibbah Kuala Baram, JKKK Kampung Masjid, SK Ubung Imang Long Lama, SK Long Laput, Pertubuhan Agama Buddha Long Lama, JKKK Kampung Cina, JKKK Kampung Narum, JKKK Kampung Pemindahan Marudi, Rh Giling anak Manggai serta Rh James anak Ansi.
Dalam ucapannya, Datuk Dr Penguang merakamkan penghargaan terhadap pelaksanaan program tersebut yang disifatkan memberi impak langsung kepada kesejahteraan masyarakat setempat.
Beliau turut mengingatkan semua penerima agar menyediakan laporan aktiviti berkaitan penggunaan peruntukan sebagai langkah memastikan sumbangan yang diterima dimanfaatkan secara telus dan berkesan demi kepentingan komuniti.-EDISI UKAS