SKAS Langkah Proaktif Kerajaan Sarawak Bantu Kos Sara Hidup Rakyat
LIMBANG: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) merupakan langkah proaktif Kerajaan Sarawak dalam membantu rakyat berhadapan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini, sekali gus membolehkan mereka merancang perbelanjaan harian dengan lebih teratur dan berhemah.
Inisiatif tersebut dilihat memberi kesan langsung kepada perbelanjaan dapur rakyat di negeri ini, khususnya dalam memastikan keperluan asas setiap isi rumah sentiasa mencukupi meskipun berdepan tekanan ekonomi semasa.
Bagi peniaga, Mahrini Mahrin, 46 tahun, manfaat SKAS amat dirasai terutama oleh golongan berkeluarga dalam menampung perbelanjaan dapur.
Beliau berkata, bantuan itu digunakan untuk membeli barangan keperluan asas seperti beras, gula, telur dan kopi.
Sementara itu, suri rumah, Sainah Rajeh, 62 tahun, berharap bantuan tersebut dapat disalurkan sebelum Hari Raya bagi membantu membuat persediaan awal menjelang Aidilfitri.
Menurutnya, bantuan berkenaan amat membantu dalam memastikan keperluan makanan mencukupi, selain merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak atas inisiatif tersebut.
Selain golongan berkeluarga, SKAS turut memberi manfaat kepada golongan bujang di daerah ini.
Khairul Ikhwan, 27 tahun yang merupakan pelatih bimbingan kerjaya menyifatkan SKAS sebagai inisiatif berkesan dalam membantu mengurangkan kos sara hidup golongan bujang, khususnya dalam membeli barangan keperluan harian.
Seorang lagi responden, Khaidir Suhardi, 27, yang bekerja di sebuah pasar raya, turut menyifatkan bantuan itu sebagai sokongan bermakna dalam mendepani cabaran ekonomi semasa.
Menurutnya, bantuan tersebut sedikit sebanyak membantu mengurangkan beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Secara keseluruhannya, SKAS bukan sekadar bantuan kewangan, malah berperanan sebagai pemangkin kepada kestabilan perbelanjaan isi rumah, sekali gus membantu rakyat mengurus kewangan dengan lebih berkesan dalam suasana ekonomi yang mencabar.-EDISI UKAS