Keputusan Mahkamah PETRONAS–PETROS Isu Komersial, Tidak Jejas Petisyen Sarawak
KUCHING: Keputusan mahkamah melibatkan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) disifatkan sebagai kes komersial antara kedua-dua entiti berkenaan dan tidak menjejaskan petisyen yang difailkan Kerajaan Sarawak di Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan kejelasan undang-undang berkaitan hak negeri.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, masyarakat perlu memahami bahawa keputusan mahkamah tersebut tidak mempunyai kaitan dengan tindakan undang-undang yang diambil oleh Kerajaan Sarawak kerana kedua-duanya melibatkan perkara berbeza dari segi skop dan tujuan.
Menurut beliau, kes antara PETROS dan PETRONAS merupakan pertikaian komersial yang dibawa sendiri oleh kedua-dua syarikat berkenaan ke mahkamah, manakala petisyen Sarawak pula bertujuan mendapatkan tafsiran serta kepastian undang-undang berkaitan bidang kuasa antara negeri dan Persekutuan.
“Kes PETROS dan PETRONAS adalah kes komersial yang mereka bawa ke mahkamah dan keputusan mahkamah itu adalah keputusan yang kita sebagai rakyat harus hormati.
“Namun ia tidak ada kaitan dan tidak memberi kesan kepada petisyen yang kita failkan di Mahkamah Persekutuan.
“Petisyen kita adalah untuk mendapatkan kejelasan undang-undang yang kita ada antara negeri dan Persekutuan. Jadi kedua-dua perkara ini adalah berbeza dan tidak bermaksud keputusan mahkamah dalam kes komersial itu akan mempengaruhi petisyen kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Majlis Penyerahan Siap Projek Dewan Taman Sukma di sini pada Rabu.
Tambahnya lagi, Kerajaan Sarawak kekal komited untuk meneruskan proses perundangan yang sedang berjalan bagi memastikan hak negeri dapat diperjelaskan melalui saluran undang-undang yang betul, sekali gus mengelakkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat mengenai isu berkenaan.
"Ini terbukti melalui usaha serta komitmen Kerajaan Negeri dalam memperjuangkan hak rakyat Sarawak menerusi Perjanjian MA63," katanya.
Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang itu menyifatkan projek Dewan Taman Sukma bernilai RM4.9 juta merupakan salah satu projek rakyat yang diluluskan sebagai manifestasi komitmen kerajaan dalam membangunkan masyarakat di seluruh Sarawak tanpa mengira kawasan.
Menurutnya, kemudahan dewan tersebut bakal memberi manfaat kepada penduduk setempat dengan menyediakan fasiliti moden yang boleh digunakan bagi pelbagai aktiviti komuniti termasuk program kemasyarakatan, mesyuarat serta aktiviti sosial.
“Dengan adanya dewan ini, ia akan memudahkan masyarakat Taman Sukma untuk mempunyai satu lagi fasiliti terbaik dan moden yang boleh digunakan bagi pelbagai aktiviti komuniti.
“Dewan ini turut dilengkapi dengan bilik mesyuarat, pejabat am serta kemudahan tandas Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memastikan keselesaan pengguna,” ujarnya lagi.
Turut hadir Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman serta tetamu lain.-EDISI UKAS