KPWK & Normah Anjur ‘Senior Citizen – We CARE For You’
KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) dengan kerjasama Normah Medical Specialist Centre bakal menganjurkan program komuniti bertemakan Senior Citizen – We CARE For You pada 4 April 2026 di Wisma Sabati sebagai usaha memperkukuh agenda penuaan sihat dan aktif di negeri ini.
Program yang dijangka menghimpunkan kira-kira 300 warga emas dari Kuching dan kawasan sekitarnya itu mencerminkan komitmen bersepadu antara kerajaan dan sektor kesihatan swasta dalam memastikan kesejahteraan golongan tersebut terus dipelihara secara menyeluruh.
Mesyuarat penyelarasan program telah dipengerusikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah pada Rabu yang menekankan kepentingan pendekatan holistik dalam mendepani cabaran populasi menua.
Menurut beliau, aspek utama yang perlu diberi perhatian termasuk akses kepada maklumat kesihatan yang tepat, sokongan komuniti yang berterusan serta pemerkasaan sosial dan emosi warga emas.
“Penganjuran program ini bertujuan membantu warga emas menjalani proses penuaan dengan lebih bermaruah, yakin dan berdikari melalui penyampaian ilmu, intervensi awal serta jaringan sokongan yang lebih tersusun,” ujarnya.
Antara pengisian utama termasuk ceramah kesihatan interaktif oleh pakar perubatan, sesi perkongsian mengenai penjagaan kesihatan dan kesejahteraan mental, selain penyediaan pelbagai reruai perkhidmatan yang menawarkan saringan kesihatan, konsultasi serta maklumat berkaitan kemudahan dan bantuan untuk warga emas.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah Setiausaha Tetap KPWK, Colliner Gohe @ Nur Alina Abdullah; Timbalan Setiausaha Tetap KPWK, Kathreen Lalai Eddie Saga; Ketua Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan Perniagaan Normah Medical Specialist Centre; serta wakil beberapa persatuan pesara termasuk Persatuan Pesara Kerajaan Sarawak, Persatuan Kebajikan Pesara Polis Asal 3S Sarawak, Persatuan Pesara Guru Sarawak dan Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia Negeri Sarawak.
Inisiatif ini selari dengan aspirasi kerajaan negeri untuk memperkukuh sistem sokongan komuniti serta memperluas kolaborasi strategik dalam memastikan kebajikan warga emas terus menjadi agenda utama pembangunan sosial Sarawak.-EDISI UKAS