JKR Lancar CCTV AI Pertama Di P-Turn Pan Borneo Selangau
SIBU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak telah melancarkan sistem kamera litar tertutup (CCTV) berteknologi kecerdasan buatan (AI) yang pertama di Pusingan-P (P-turn) Lebuhraya Pan Borneo di Selangau.
Pengarah Kerja Raya Sarawak Datu Dr Cassidy Morris berkata, pemasangan CCTV berteknologi AI yang pertama di Pan Borneo Sarawak merupakan satu langkah proaktif dalam memperkukuh aspek keselamatan serta pemantauan kebersihan persekitaran awam.
“Ini selaras dengan aspirasi pembangunan negeri ke arah bandar pintar,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi JKR Sarawak pada Rabu.
Beliau turut menyeru agar semua pihak memanfaatkan teknologi ini secara optimum dan dalam masa yang sama mengingatkan para pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengutamakan keselamatan demi kesejahteraan bersama.
Datu Dr Cassidy dalam hantaran itu memberitahu, pelaksanaan sistem CCTV AI ini dijangka mampu memantau pergerakan trafik secara lebih berkesan seterusnya menyokong usaha pencegahan kemalangan dan penambahbaikan pengurusan lalu lintas di sekitar kawasan Selangau serta Bahagian Sibu.
“JKR Sarawak akan terus komited memperkasa infrastruktur keselamatan jalan raya melalui pendekatan inovatif demi kesejahteraan pengguna jalan raya,” katanya. -EDISI UKAS