PUSA: Program Ihya’ Ramadan N29 Beting Maro menjadi wadah memperkukuh ukhuwah dan menyemarakkan penghayatan ibadah dalam kalangan masyarakat setempat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beting Maro, Dato Razaili Gapor berkata, program berkenaan bukan sekadar pengisian rohani, tetapi medan menyatukan komuniti serta mengeratkan silaturahim.
“Program seperti ini bukan sekadar kita berkumpul untuk berbuka puasa, tetapi menjadi ruang memperkukuh perpaduan serta menyemai semangat kebersamaan dalam kalangan masyarakat.
“Ia juga mencerminkan komitmen kita untuk terus memakmurkan Ramadan dengan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti,” katanya ketika berucap semasa berbuka puasa di Surau An Nur, Kampung Semarang pada Rabu.
Beliau turut mengingatkan umat Islam agar merebut keberkatan Ramadan dengan memperbanyakkan amalan seperti bersedekah, membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.
Sejurus selepas itu, Dato Razaili meneruskan program Ihya Ramadan N29 Beting Maro dengan mengadakan Solat Tarawih serta Moreh di Masjid Nurhidayah Kampung Spinang, Pusa bersama komuniti setempat di kawasan tersebut.
Semasa majlis di kedua-dua lokasi, beliau menyampaikan sumbangan kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid (JKP), imam dan peserta tadarus al-Quran.
Turut hadir Pemanca Daerah Pusa Rosli Uji, Penghulu Spinang, Semarang dan Batang Maro Musa Zin, Penghulu Kampung Beladin, Pusa Zakaria Mos, Ketua Kampung Spinang Rossi Morsidi dan Ketua Kampung Semarang Suria Azmie. –EDISI UKAS