SIBU: Penganjuran Lan Berambeh Sungkei 2026 Bahagian Sibu edisi kelapan pada 7 Mac ini dijangka berlangsung dalam skala lebih besar dengan sasaran kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung dari seluruh Sarawak.
Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata, program yang akan berlangsung di Dataran Tun Tuanku Bujang (Fasa I) bermula jam 4 petang itu terus menjadi antara acara Ramadan paling dinanti-nantikan di bahagian berkenaan.
Menurut beliau, program tersebut mula diperkenalkan pada 2017, namun tidak dapat dianjurkan pada 2020 dan 2021 berikutan pandemik COVID-19.
“Bagi edisi kali ini, kami menyasarkan penyertaan seramai 25,000 peserta berbanding lebih 20,000 peserta yang direkodkan pada edisi ketujuh tahun lalu, manakala edisi keenam pada 2024 mencatatkan kehadiran lebih 15,000 peserta,” katanya dalam sidang media pada Khamis.
Abang Mohamad Porkan memaklumkan, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dijangka hadir merasmikan program tersebut.
Selain itu katanya, turut dijangka hadir ialah Timbalan Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka Datuk Dr. Annuar Rapa'ee yang juga merupakan pelopor serta penaung program berkenaan.
Dalam pada itu, Abang Mohamad Porkan berkata penganjuran program tahunan berkenaan bukan sahaja menyemarakkan sambutan Ramadan, malah berpotensi menarik kehadiran pengunjung dari daerah dan negeri lain termasuk negara jiran seperti Indonesia dan Brunei, sekali gus mempromosikan keharmonian serta budaya toleransi masyarakat Sarawak.
Program anjuran Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) N.55 Nangka serta Jabatan Penyiaran Negeri Sarawak (RTM Sarawak) itu akan turut dimeriahkan dengan pelbagai acara sampingan.
Antaranya ialah Pertandingan Bedil yang bermula jam 4 petang, Pertandingan Teter Beduk, Pertandingan Busana, program Quran Hours, gerai ramadan, majlis penyerahan sumbangan kepada golongan asnaf serta Jualan Rahmah.
Turut hadir pada sidang media tersebut ialah Pegawai Kanan Pejabat Residen Sibu Nursyarmilla Jeruis, Pengurus RTM Sibu Nur Aida Kemilia Jamie Abdullah, Pengerusi MAKSAK Wanita Bahagian Sibu Betty Tuko, Pegawai Agama Islam Bahagian Sibu Rafeah Buang, wakil Pusat Khidmat DUN Nangka, Syed Yazid Wan Zaim, wakil Pejabat Kesihatan Bahagian Sibu Wan Rabaie Wan Mos serta Setiausaha Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sibu (LAKIS) Jamil Julaihi.-EDISI UKAS