Peruntukan SDAF RM2.1 Juta Perkasa Prasarana SMK Bintulu
BINTULU: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan khas berjumlah RM2.1 juta bagi pembinaan dewan perhimpunan baharu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bintulu dalam usaha memperkukuh pembangunan kemudahan pendidikan di kawasan itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata projek tersebut dibiayai menerusi Dana Bantuan Pembangunan Khas (SDAF) dan dijangka memasuki proses tender dalam tempoh satu hingga dua bulan.
Menurut beliau, pelaksanaan projek berkenaan mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam meningkatkan prasarana sekolah demi keselesaan serta keselamatan pelajar dan warga pendidik.
“SMK Bintulu mempunyai lebih 3,000 pelajar dan telah beroperasi lebih 50 tahun. Keperluan kepada sebuah dewan yang lebih lengkap dan selesa amat mendesak sejajar dengan kapasiti semasa sekolah ini.
“Dengan adanya peruntukan khas ini, kemudahan asas sekolah dapat dipertingkatkan secara menyeluruh,” katanya selepas lawatan tapak projek di sekolah berkenaan pada Khamis.
Beliau menjelaskan, lawatan tersebut diadakan bagi mendapatkan ulasan teknikal serta memastikan aspek keselamatan dan reka bentuk memenuhi piawaian yang ditetapkan sebelum proses tender dilaksanakan.
Tambahnya, sebaik sahaja pelan reka bentuk dimuktamadkan, proses tender akan dijalankan dan kerja pembinaan dijangka bermula sekitar pertengahan tahun ini.
Johnny Pang turut merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak dan Kerajaan Sarawak atas kelulusan peruntukan tersebut yang disifatkan sebagai pelaburan penting dalam pembangunan modal insan di Bintulu.
Lawatan itu turut disertai wakil Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Pendidikan Daerah serta pihak pentadbiran sekolah bagi menyelaras keperluan teknikal projek.-EDISI UKAS