PAKAN: Pemimpin akar umbi diseru agar memperkukuh ilmu digital bagi memastikan komuniti luar bandar tidak ketinggalan dalam arus kemodenan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom menegaskan bahawa penguasaan asas literasi digital amat penting, khususnya dalam memahami perkembangan teknologi seperti mata wang digital, kod QR, e-dompet, kecerdasan buatan (AI) serta Internet Kebendaan (IoT).
Penasihat di Pejabat Premier Sarawak (Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah) itu menjelaskan, Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) dan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) perlu lebih peka serta bersedia menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi demi meningkatkan keberkesanan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan kepada penduduk setempat.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Penyerahan Sijil Pelantikan Ketua Kaum, Sijil Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung serta Sijil Setiausaha JKKK N.47 di Pakan, pada Khamis.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan pemimpin masyarakat perlu diperkukuh, di samping ketua kaum dan tuai rumah berperanan sebagai teladan dalam menggalakkan penerimaan teknologi dalam komuniti.
Beliau turut merakamkan ucapan syabas dan tahniah kepada semua penerima sijil serta berharap mereka dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi demi kesejahteraan masyarakat setempat.
Dalam majlis ringkas dan santai itu, seramai 20 penerima menerima sijil pelantikan KMKK, manakala 28 lagi menerima sijil pelantikan sebagai ahli JKKK dari Tan Sri William Mawan. - EDISI UKAS