Kerajaan Sarawak Lulus RM1.3 Juta Perkukuh Operasi Pusat Transit Gelandangan
KUCHING: Kerajaan Sarawak meluluskan peruntukan berjumlah RM1.3 juta bagi memperkukuh operasi empat Pusat Transit Gelandangan (TTG) di seluruh negeri sebagai langkah berterusan menangani isu gelandangan secara lebih holistik.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, peruntukan tersebut melibatkan operasi TTG di Kuching dan Sibu yang kini telah beroperasi, selain dua lagi pusat baharu di Bintulu dan Miri yang dijangka mula beroperasi sepenuhnya tahun ini.
Menurut beliau, penubuhan empat pusat transit itu dibuat berdasarkan cerapan serta operasi lapangan yang mengenal pasti taburan dan jumlah gelandangan di bahagian utama Sarawak.
“Permohonan peruntukan yang kita kemukakan adalah untuk keempat-empat TTG kerana semuanya akan beroperasi. Agihan dibuat mengikut keperluan di sesuatu kawasan serta jumlah gelandangan yang dikenal pasti,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas memberi sumbangan pada Majlis Sejambak Kasih Aidilfitri Bahagian Kuching di sini pada Jumaat.
Jelasnya, peruntukan berkenaan digunakan bagi menyediakan keperluan asas kepada penghuni termasuk kemudahan tempat tidur, penyediaan sekurang-kurangnya satu hidangan makanan setiap hari serta pembayaran elaun penyelia dan petugas yang mengendalikan operasi pusat transit tersebut.
“Kita mahu memastikan golongan gelandangan ini tidak lagi tidur di kaki lima. Melalui TTG, mereka disediakan tempat transit yang selamat untuk berehat, makan dan mendapatkan sokongan sewajarnya,” jelasnya.
Dato Sri Fatimah memaklumkan bahawa pelaksanaan TTG menunjukkan impak positif apabila jumlah gelandangan di lokasi tumpuan operasi penguatkuasaan kini didapati semakin berkurangan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan pengendalian golongan gelandangan memerlukan pendekatan profesional serta petugas terlatih, khususnya apabila melibatkan individu yang mempunyai masalah kesihatan mental.
“Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai isu kesihatan mental dan boleh menjadi agresif. Sebab itu operasi ini perlu dikendalikan oleh petugas yang terlatih demi memastikan keselamatan semua pihak,” katanya lagi.
Bagi TTG Kuching, pusat berkenaan mempunyai kapasiti sehingga 100 penghuni dan kini beroperasi di premis lot kedai yang disewa berikutan kekangan mendapatkan lokasi yang lebih sesuai, dengan kemudahan penginapan diasingkan bagi lelaki dan wanita bagi menjamin keselesaan serta keselamatan penghuni.- EDISI UKAS