Iftar Perdana 2026 Bakal Berlangsung Di Sepanjang Tebingan Sungai Kuching Pada 7 Mac Ini
KUCHING: Program Iftar Perdana 2026 yang dijadual berlangsung pada Sabtu, 7 Mac ini akan diperluaskan meliputi sepanjang Tebingan Sungai Kuching bagi menampung kehadiran orang ramai yang dijangka meningkat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, program yang memasuki tahun kedua itu akan bermula seawal jam 4.30 petang hingga 10 malam.
Menurut beliau, penganjuran tersebut merupakan hasil kerjasama antara DBKU dan Majlis Islam Sarawak (MIS) bagi memberi peluang kepada warga bandar raya, pelawat serta pelancong untuk berbuka puasa bersama dalam suasana santai di tebing Sungai Sarawak.
“Berdasarkan pengalaman tahun lalu, kehadiran dianggarkan antara 2,000 hingga 3,000 orang.
“Pada tahun ini kita menjangkakan jumlah itu meningkat kepada sekitar 5,000 pengunjung kerana kawasan program diperluaskan meliputi sepanjang Kuching Waterfront,” katanya dalam sidang media di sini, pada Jumaat.
Datuk Dr. Abdul Rahman menjelaskan, lokasi berbuka puasa akan meliputi kawasan bermula berhampiran Grand Margherita Hotel sehingga ke kawasan sekitar Brooke Dockyard dan Masjid Bandaraya Kuching atau Masjid India Bandar Kuching.
Menurutnya lagi, selain aktiviti berbuka puasa secara santai, beberapa aktiviti sampingan turut diadakan di kawasan termasuk pertandingan mewarna kanak-kanak serta pengagihan bubur lambuk kepada orang ramai.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, konsep baharu dikenali sebagai ‘Glamping Ramadan’ turut diperkenalkan pada penganjuran kali ini, di mana orang ramai digalakkan membawa tikar atau khemah bagi menikmati suasana berbuka puasa secara santai bersama keluarga di kawasan terbuka.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu menegaskan, program tersebut terbuka kepada seluruh masyarakat tanpa mengira kaum dan agama, sekali gus menjadi platform memperkukuh semangat perpaduan dan muhibah dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di bandar raya ini.
Turut hadir semasa sidang media itu ialah Datuk Bandar Kuching Utara Dato Hilmy Othman dan Setiausaha Majlis Islam Sarawak Mual Suaud.-EDISI UKAS