Pembinaan Klinik Kesihatan Daro Bernilai RM46.8 Juta Kini Dimulakan
DARO: Penantian lebih sedekad penduduk daerah ini untuk mendapatkan kemudahan kesihatan yang lebih sempurna bakal berakhir apabila projek pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 4) Daro (Fasa II) bernilai RM46.8 juta dimulakan secara rasmi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro Dr. Safiee Ahmad berkata, projek yang bermula pada 4 Februari lalu itu dijangka siap sepenuhnya pada 3 Ogos 2028 selepas melalui tempoh kontrak selama 30 bulan.
Menurut beliau, pembinaan klinik baharu itu amat penting bagi menggantikan Klinik Kesihatan Daro lama yang musnah dalam kebakaran pada 7 Oktober 2015, sekali gus menamatkan penantian panjang penduduk setempat.
“Sejak kejadian tersebut, perkhidmatan kesihatan terpaksa beroperasi di klinik sementara yang ditempatkan di Rumah Rehat Hospital Daro dengan kemudahan yang terhad dan serba kekurangan.
“Keadaan ini bukan sahaja memberi cabaran kepada petugas kesihatan, malah menimbulkan kesulitan kepada penduduk yang mendapatkan rawatan,” katanya ketika berucap menyempurnakan Majlis Mula Kerja Pembinaan Klinik Kesihatan (Jenis 4) Daro (Fasa II) di tapak projek di Kampung Tengah, di sini pada Jumaat.
Tambah beliau, pembinaan klinik kesihatan baharu itu akan menyediakan kemudahan rawatan yang lebih moden, lengkap dan selesa kepada penduduk di Daro serta kawasan sekitarnya.
Beliau turut berharap projek tersebut dapat dilaksanakan mengikut jadual yang ditetapkan melalui kerjasama semua pihak, termasuk agensi pelaksana dan kontraktor, demi memastikan rakyat mendapat manfaatnya secepat mungkin.
Projek berkenaan dilaksanakan oleh Dasanrama Sdn. Bhd. sebagai kontraktor utama, manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak Bahagian Mukah bertindak sebagai agensi pelaksana dan penyelia projek.
Penduduk setempat yang sering mendapatkan rawatan di klinik kesihatan berharap projek itu dapat disiapkan mengikut tempoh ditetapkan bagi membolehkan mereka menikmati kemudahan kesihatan yang lebih baik dan selesa.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Daro Zul Usup, Jurutera Bahagian JKR Mukah Ts. Awang Dasuki Awang Dol, Ketua Polis Daerah Matu Daro DSP Rahim Mihos, wakil Pegawai Kesihatan Bahagian Mukah Dr. Fatih Nuraf’idah Zulkifli dan wakil Residen Bahagian Mukah Petrone Benedict Sunggoh.-EDISI UKAS