SPK Tanjung Manis Perkukuh Agenda Pembangunan Luar Bandar, 69 Unit Rumah Baharu Dibangunkan
TANJUNG MANIS : Usaha memperkasa pembangunan luar bandar di Sarawak terus dipergiat menerusi pelaksanaan Skim Pembesaran Kampung (SPK) Tanjung Manis yang bakal menyediakan 69 unit rumah baharu lengkap dengan kemudahan infrastruktur moden bagi meningkatkan kesejahteraan komuniti setempat.
Majlis Penyerahan Surat Tawaran (Letter of Acceptance – LoA) projek berkenaan telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang, Datuk Len Talif Salleh di Dewan Masyarakat Tanjung Manis pada Jumaat.
Dalam ucapan perasmiannya, Datuk Len Talif menegaskan bahawa SPK Tanjung Manis mencerminkan pendekatan baharu pembangunan luar bandar yang diperkenalkan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.
Menurut beliau, skim tersebut bukan sekadar menyediakan kediaman, malah merangkumi pembangunan infrastruktur asas berkualiti termasuk jalan raya, sistem perparitan, pencawang elektrik serta kemudahan sokongan komuniti.
“SPK Tanjung Manis bukan hanya projek perumahan, tetapi satu ekosistem pembangunan yang menyokong pertumbuhan sosial dan ekonomi penduduk serta membuka peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi baharu,” katanya.
Tambah beliau, skim berkenaan turut menawarkan syarat pemilikan tanah yang lebih mampu milik dan fleksibel bagi membantu penduduk tempatan memiliki kediaman sendiri secara lebih terancang.
Katanya, projek yang dilaksanakan oleh Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) itu merupakan antara inisiatif strategik kerajaan negeri dalam mentransformasikan penempatan luar bandar agar lebih tersusun, moden dan berdaya huni.
Secara keseluruhan, pembangunan SPK Tanjung Manis melibatkan pembinaan 69 unit rumah dengan 39 unit dilaksanakan pada fasa pertama.
Kerja-kerja penyiapan tapak dan tanah dijangka siap sepenuhnya menjelang hujung November tahun ini.
Selain pembangunan perumahan, projek tersebut turut merangkumi penyediaan kawasan rekreasi awam seluas 1.65 ekar bagi memenuhi keperluan sosial serta meningkatkan kualiti hidup penduduk.
Pakej kerja penyiapan tapak dan kerja tanah melibatkan kos sebanyak RM3.88 juta, manakala keseluruhan pembangunan infrastruktur di bawah skim ini dianggarkan bernilai RM20 juta.
Menurut Datuk Len lagi, pelaksanaan projek berkenaan diselia oleh Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA) selaras dengan pelan pembangunan wilayah Rajang Delta yang memberi penekanan kepada pertumbuhan ekonomi mampan dan inklusif.
Seiring agenda pembangunan mampan negeri, LCDA ujarnya turut memperkenalkan penggunaan teknologi tenaga hijau menerusi pemasangan sistem panel solar berkonsepkan Net Energy Metering (NEM) di rumah contoh SPK Gedong sebagai model rujukan pembangunan masa depan.
Inisiatif tersebut membolehkan pemilik rumah menjana tenaga elektrik sendiri sekali gus mengurangkan kos penggunaan tenaga serta kebergantungan kepada grid elektrik konvensional.
"Pelaksanaan SPK menjadi asas kepada pembentukan bandar baharu luar bandar yang progresif, berdaya saing dan mampu menarik pertumbuhan ekonomi setempat," jelasnya lagi.
Justeru, beliau menyeru kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi pelaksana, kontraktor serta komuniti bagi memastikan projek tersebut dilaksanakan dengan lancar dan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat.
Turut hadir Residen Bahagian Mukah, Datu Kueh Lei Poh, Pegawai Tadbir Khas RADDA, Kelana Kipli, Pegawai Daerah Tanjung Manis, Ismail Kasah, wakil pengurusan LCDA, ketua jabatan, ketua masyarakat dan ketua kaum, rakan media serta penduduk setempat.
Pelaksanaan SPK Tanjung Manis diyakini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi kawasan luar bandar sekali gus menyokong aspirasi pembangunan seimbang Sarawak menuju masa depan yang lebih makmur dan inklusif.- EDISI UKAS