SIBU: Universiti Teknologi Sarawak (UTS) meneruskan tradisi Ramadan dengan mengagihkan sebanyak 500 bekas bubur lambuk kepada orang awam di Dataran Tun Tuanku Bujang Fasa Dua, pada Jumaat.
Naib Canselor UTS, Profesor Datuk Dr Khairuddin Abdul Hamid berkata, sebanyak 700 bekas bubur lambuk disediakan hasil kerjasama Surau Pusat Islam UTS bersama Persatuan Wanita UTS sempena program tersebut.
“Daripada jumlah itu, 500 bekas diagihkan di lokasi ini manakala 200 lagi disalurkan di tempat lain termasuk kepada golongan gelandangan dan mereka yang kurang berkemampuan, yang menjadi fokus utama program ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Menurut beliau, program penyediaan dan pengagihan bubur lambuk merupakan aktiviti tahunan universiti setiap kali Ramadan sebagai manifestasi keprihatinan terhadap masyarakat setempat.
Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit kelainan pada tahun ini apabila lokasi pengagihan dipindahkan berbanding penganjuran sebelum ini yang diadakan di Kampung Bandung.
“Disebabkan kawasan tersebut sedang menjalani proses pengubahsuaian yang besar, pihak universiti bersetuju memindahkan program ke lokasi baharu ini.
“Perubahan ini juga memberi peluang kepada masyarakat di kawasan lain untuk turut merasai usaha murni UTS dalam menyantuni komuniti sepanjang Ramadan,” ujarnya.
Tambah beliau, pemilihan lokasi berhampiran bazar Ramadan turut memeriahkan suasana selain memudahkan orang ramai mendapatkan juadah berbuka puasa.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk syarikat swasta dan individu perseorangan yang sentiasa menyokong serta menyumbang bagi menjayakan program berkenaan setiap kali Ramadan.-EDISI UKAS