MIRI: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lutong, Zon 6 Sarawak menganjurkan program pengagihan bubur lambuk bagi mengeratkan hubungan bersama masyarakat setempat di Jalan Lutong–Kuala Baram, pada Jumaat.
Program tahunan itu menyaksikan sebanyak 250 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang awam yang melalui kawasan berkenaan sebagai tanda penghargaan serta ucapan selamat berpuasa sempena Ramadan.
Selain pengagihan bubur lambuk, anggota bomba turut mengedarkan risalah kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap aspek keselamatan ketika berada di jalan raya, khususnya menjelang musim perayaan.
Ketua Balai BBP Lutong, Henry Jugah bersama anggota Pasukan Alpha terlibat secara langsung dalam menjayakan program tersebut.
Turut hadir wakil Stesen Minyak Petronas Jalan Bintang, Miri yang bekerjasama dalam pelaksanaan inisiatif berkenaan.
Inisiatif seumpamanya juga menjadi platform untuk memperkenalkan peranan serta kehadiran BBP Lutong kepada orang ramai melalui pendekatan yang lebih mesra dan berinformasi.-EDISI UKAS