BDA Perkukuh Hubungan Agensi-Komuniti Sepanjang Ramadan
BINTULU: Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menganjurkan Majlis Sungkei bersama komuniti setempat yang berlangsung dalam suasana penuh kemeriahan di Masjid At-Taqwa, RPR Sibiew.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, sekali gus menyerlahkan sokongan berterusan terhadap usaha memperkukuh hubungan antara agensi dan masyarakat setempat.
Turut hadir Timbalan Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Abdul Rahim Abdullah serta wakil Residen Bahagian Bintulu Harun Hatta.
Dalam majlis berkenaan, sesi penyampaian sumbangan turut diadakan kepada Masjid At-Taqwa, Madrasah At-Taqwa serta Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) OKU Gemilang Jepak sebagai tanda keprihatinan dan sokongan terhadap institusi keagamaan serta golongan yang memerlukan.
Penganjuran program tersebut mencerminkan komitmen berterusan BDA dalam memperkukuh silaturahim dan semangat kebersamaan bersama komuniti, khususnya sepanjang bulan Ramadan yang mulia.-EDISI UKAS