Bantuan Pendidikan N57 Tellian Ringankan Beban 29 Pelajar
MUKAH: Seramai 29 pelajar daripada tiga buah sekolah menengah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tellian menerima Bantuan Pendidikan bagi membantu persediaan awal menjelang sesi persekolahan 2026.
Program Penyerahan Bantuan Yuran Sekolah ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Fifty7Hope Biro Pendidikan Mukah N57 Tellian, anjuran Tabung Kebajikan N57 Tellian dengan kerjasama Biro Pendidikan Mukah.
Penyerahan bantuan berjumlah keseluruhan RM8,000 itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dalam satu majlis yang berlangsung di SDEC Mukah, pada Jumaat.
Dalam ucapannya, Royston berkata Program Fifty7Hope merupakan satu inisiatif yang bertujuan membantu meringankan beban keluarga serta menggalakkan pelajar terus berusaha dalam bidang pendidikan.
Beliau juga berharap agar program seumpama ini dapat diteruskan demi memperkasa kebajikan pendidikan pelajar di kawasan DUN Tellian.
Melalui program ini, bantuan disalurkan kepada keluarga pelajar yang kurang berkemampuan bagi menjelaskan yuran persekolahan sesi 2026 yang masih tertunggak semasa pendaftaran kemasukan sekolah, menggunakan dana sumbangan daripada Royston.
Pecahan penerima bantuan adalah SMK Mukah berjumlah RM3,462.50 melibatkan 17 orang pelajar, SMK St. Patrick berjumlah RM1,415.40 melibatkan empat orang pelajar dan SMK Three Rivers berjumlah RM2,800 melibatkan lapan orang pelajar.
Selain bantuan kewangan, para pelajar turut menerima sumbangan berbentuk beg sekolah percuma serta peralatan persekolahan sebagai persediaan awal menghadapi sesi persekolahan baharu.
Turut hadir Pengetua SMK Three Rivers, Cg. Donny Dahlan, Pengetua SMK St. Patrick, Cg. Sylvester Allan William, wakil SMK Mukah yang diwakili oleh Penolong Kanan Pentadbiran, Cg. Abdul Rhman Sallehuddin, ibu bapa dan pelajar. - EDISI UKAS