Anak Sarawak Di Semenanjung Diraikan Dalam Majlis Sungkei Anak Sarawak 2026
KUALA LUMPUR: Majlis Sungkei Anak Sarawak 2026 anjuran Yayasan Sarawak berlangsung penuh bermakna di Kuala Lumpur Convention Centre (KLCC), menghimpunkan anak-anak Sarawak yang berada di Semenanjung dalam suasana Ramadan yang penuh keberkatan dan semangat kekeluargaan.
Majlis pada Sabtu tersebut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.
Turut hadir Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg bersama anakanda Dayang Norjihan, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof serta isteri, Datin Amar Ruziah Mohd Tahir.
Hadir sama Menteri-Menteri & Timbalan-Timbalan Menteri Kabinet Persekutuan dan Sarawak, Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki bersama isteri Dato Baduyah Bujang, Pengarah Yayasan Sarawak, Datu Mohamad Junaidi Mohidin, Ketua-ketua Jabatan serta tetamu-tetamu lain.
Majlis sungkei tersebut turut diisi dengan penyampaian sumbangan duit raya daripada Yayasan Sarawak kepada penerima terpilih sebagai manifestasi sokongan berterusan terhadap kebajikan pelajar serta komuniti anak Sarawak di perantauan.
Penganjuran program ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan Sarawak menerusi Yayasan Sarawak dalam memperkukuh jaringan komuniti, memelihara kebajikan pelajar dan menyemai semangat kekeluargaan, sekali gus memastikan anak-anak Sarawak terus berasa dekat dengan negeri kelahiran mereka meskipun berada jauh dari tanah air.-EDISI UKAS