UKAS Perkukuh Peranan Jambatan Kerajaan–Rakyat Melalui Program Komuniti
PADAWAN: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) terus memainkan peranan strategik sebagai penghubung utama antara kerajaan dan rakyat dalam memastikan setiap dasar, inisiatif serta hala tuju pembangunan negeri disampaikan secara jelas, tepat dan mudah difahami oleh semua lapisan masyarakat.
Pengarah UKAS, Awang Putrayusrie Awang Redzuan berkata, agensi di bawah Jabatan Premier Sarawak itu bukan sahaja berfungsi menyebarkan maklumat rasmi, malah bertindak sebagai platform komunikasi dua hala bagi mendengar pandangan rakyat secara langsung di lapangan.
Menurut beliau, Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg kekal komited memacu agenda pembangunan menyeluruh yang merangkumi ekonomi hijau, transformasi digital, pembangunan infrastruktur luar bandar, kebajikan rakyat serta penyediaan peluang pekerjaan khususnya kepada golongan belia.
“Namun demikian, semua ini perlulah sokongandan kefahaman daripada masyarakat. Oleh yang demikian, pentingnya program hari ini untukmendekati komuniti, menjelaskan hala tujuKerajaan Sarawak dan mendengar sendiripandangan rakyat di lapangan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Pengarah UKAS, Joachim Paggang Jabong sempena program UKAS Bersama Komuniti Sambutan Tahun Baru Cina Dewan Undangan Negeri (DUN) Mambong, di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Awang Putrayusrie turut menegaskan bahawa UKAS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan, organisasi mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan maklumat sahih berkaitan inisiatif kerajaan dapat disebarluaskan secara meluas.
Katanya, melalui program lapangan, UKAS berusaha merapatkan jurang antara kerajaan, pemimpin tempatan dan rakyat menerusi komunikasi telus yang berteraskan kepercayaan.
Beliau berharap program bersama komuniti tersebut dapat memberi manfaat khususnya kepada golongan belia, sekali gus meningkatkan kefahaman mereka terhadap dasar serta hala tuju pembangunan negeri. -EDISI UKAS