ADUN Simunjan Seru Bakat Tempatan Sarawak Tembusi Pasaran Global
KUCHING: Penggiat seni tempatan khususnya di Sarawak diseru agar merebut peluang kerjasama strategik bersama syarikat rakaman profesional sebagai langkah memperluaskan karya ke pasaran nasional dan antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simunjan, Awla Dris berkata, kolaborasi antara penggiat muzik tempatan dengan syarikat rakaman terkenal, Luncai Emas Sdn Bhd merupakan inisiatif signifikan dalam usaha memperkasa industri seni kreatif negeri.
Menurut beliau, usaha tersebut bukan sekadar platform pertemuan, malah menjadi ruang penting bagi komposer dan artis tempatan membina rangkaian industri, meningkatkan kemahiran serta memperkukuh kedudukan dalam arena muzik tanah air.
“Sebagai wakil rakyat Simunjan, saya berharap akan lahir lebih ramai komposer dan artis dari kawasan ini yang mampu mencipta nama bukan sahaja di peringkat negeri, malah hingga ke persada antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Karya Lagu Komposer Abdul Lattif Poli bersama artis tempatan Sarawak di sini pada Sabtu.
Tambah beliau, penglibatan tokoh muzik tersohor negara, Datuk Dr M. Nasir dalam kolaborasi bersama penggiat seni Bumi Kenyalang diyakini mampu membuka ruang lebih luas kepada bakat tempatan untuk diketengahkan secara profesional dan berdaya saing.
Dalam masa sama, Awla mengingatkan anak jati luar bandar agar tidak menjadikan faktor geografi sebagai kekangan untuk berjaya, sebaliknya menjadikannya sebagai motivasi dalam menghasilkan karya berkualiti tinggi yang mampu menembusi pasaran lebih besar.
Katanya, kekuatan industri muzik tidak hanya bergantung kepada bakat semata-mata, sebaliknya memerlukan semangat perpaduan, kerjasama serta profesionalisme dalam kalangan penggiat seni dan bukannya persaingan tidak sihat.
Beliau turut menekankan kepentingan sinergi berterusan antara agensi kerajaan, badan industri dan media dalam menyokong pembangunan bakat seni tempatan, termasuk penghasilan karya berasaskan dialek Melayu Sarawak yang berpotensi memperkukuh identiti budaya negeri di peringkat nasional dan antarabangsa.-EDISI UKAS